Pengurus ladang, penolong diculik di Lahad Datu

Seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata api dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah, kelmarin.
    
Ladang tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50km dari pekan Lahad Datu.
    
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedua-dua mangsa lelaki itu berusia 25 dan 33 tahun itu, dari Semenanjung, dan mempunyai tali persaudaraan itu menggunakan nama keluarga Tung.
    
Beliau berkata kedua-dua mangsa itu dipercayai diculik antara pukul 3.30 petang dan 4.30 petang dan setakat ini, tiada tuntutan atau pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam penculikan tersebut.     
Hamza berkata semasa kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama dua pekerja mereka yang sedang menjalankan kerja harian di rumah sarang burung walit (dalam kawasan ladang kelapa sawit) telah didatangi oleh lima lelaki yang bersenjata api dan seorang daripada mereke memakai topeng.

"Mereka yang menggunakan logat 'Suluk' kemudian telah menculik mangsa dan membawa mereka dengan menaiki bot engin sangkut lalu menghilangkan diri dari pantai Lahad Datu," katanya pada media di ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, dekat Kota Kinabalu hari ini.
    
Hamza berkata polis mengkelaskan kes itu sebagai culik dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Katanya jumlah kerugian berdasarkan laporan daripada keluarga mangsa ialah sekitar RM28,000.
    
"Setakat ini motif kes ini kita percaya rompakan dan kita tidak tahu kenapa mereka diculik, dan antara barang yang dilarikan ialah telefon bimbit, rantai emas, cincin emas dan dua set kunci kereta pacuan empat roda," katanya.
    
Hamza berkata sebaik sahaja menerima laporan anggota keluarga mangsa pada kira-kira pukul 4.45 petang, polis bersama pasukan keselamatan lain termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan gerakan mengesan mangsa culik itu.
    
Ditanya sama ada kes penculikan itu dirancang dan penculik yang memakai topeng itu merupakan dalangnya, beliau tidak menolak kemungkinan itu sambil berkata: "Llelaki pakai topeng itu mungkin kenal dengan orang di sini...kalau tidak, saya tidak percaya ada keperluan pakai topeng".
    
Mengenai kemungkinan pembabitan kumpulan Abu Sayyaf dalam kes itu, katanya tiada petanda setakat ini namun siasatan akan merangkumi semua aspek termasuk pembabitan kumpulan itu.
    
Hamza berkata polis Sabah sedang bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran bagi mengesan mangsa dan kumpulan penculik itu.
    
Ditanya sama ada mangsa culik itu masih berada di negara, Hamza berkata beliau tidak pasti sama ada mereka masih berada di kawasan itu atau dilarikan ke negara jiran.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.