Raja Perlis seru orang Melayu elak sengketa

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu orang Melayu mengelak sengketa dan syak wasangka sesama sendiri bagi membolehkan mereka menjadi bangsa yang kukuh.

Baginda bertitah bangsa Melayu perlu mempunyai masa depan yang baik dan setiasa berfikiran jauh ke hadapan dengan mengutamakan semangat perpaduan.

Bangsa Melayu perlu kukuh bukan sahaja pada masa ini tetapi pada sepanjang masa demi masa depan generasi akan datang, titah baginda ketika melancarkan sambutan Maal Hijrah 1434 peringkat negeri Perlis serentak dengan perasmian Masjid Nurul Naim di Felcra Lubok Sireh di Padang Besar malam tadi.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah selain itu pendekatan Wasatiyyah atau kesederhanaan dalam kehidupan juga penting dalam membentuk kesatuan umat secara harmoni.

Pendekatan itu adalah sejajar dengan tema sambutan Maal Hijrah 1434 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' dan ia perlu dihayati oleh seluruh umat Islam, titah baginda.

Sempena sambutan itu, Imam Masjid Alwi, Kangar, Ku Abdullah Ku Jusoh, 77, diumum sebagai tokoh Maal Hijrah Perlis 1434. Beliau menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil serta hadiah iringan.

Pada majlis itu juga, seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Amirul Asraf Abdullah, 16, yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum menerima anugerah khas saudara baru.

Amirul Asraf menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Masjid Nurul Naim Felcra Lubok Sireh yang dibina pada 1988 dan dirasmikan selepas 24 tahun pembinaannya, muncul sebagai masjid terbaik dengan menerima hadiah wang tunai RM3,000 manakala Masjid Nurul Iman, Nesan menerima hadiah wang tunai RM1,000 bagi kategori keindahan dan keceriaan.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.