'Saya berpuas hati dengan Harakah' - Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempertahankan lidah rasmi parti itu, Harakah yang dikritik keras oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamarnya semalam.

Beliau berkata setakat ini beliau "berpuas hati dengan Harakah" walaupun akhbar tersebut hanya mendapat kebenaran menerbit dan menjualkan untuk ahli sahaja.

"Kemampuan yang ada pada mereka saya puas hati, walaupun mereka mendapat kebenaran (menerbit dan menjual) untuk ahli sahaja. (Harakah) tidak dapat kebenaran untuk (akhbar) harian. Tidak dapat untuk sebaran yang lebih luas.

"Orang Islam diajar, semua perkara tidak ada yang sempurna, yang sempurna hanya tuhan. Saya pun tidak sempurna. Orang boleh kritik. Macam Harakah juga. Kita menerima nasihat daripada semua pihak," katanya.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang mengulas usul Pemuda yang mendesak pimpinan parti  supaya menstruktur semula sidang redaksi Harakah, dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu.

Dewan itu mendakwa mutu pemberitaan Harakah merosot dan media itu juga "kurang kredibiliti" sebagai lidah parti dan "tersasar dari matlamat penubuhannya".

Mengulas lanjut mengenai cadangan Pemuda supaya pimpinan PAS membuat penstrukturan semula, Abdul Hadi berkata: "Itu masalah dalaman parti. Kita akan bincang".

"Kita mengambi kira pandangan, kita akan lihat dahulu. Bukan sahaja Pemuda, Muslimat dan yang lain," katanya sambil menambah umum perlu menyedari bahawa akhbar itu berada di persimpangan untuk menyampai maklumat kepada ahli dan masyarakat umum.

"Sebab itu timbul dilema yang kita kena sedar. Harakah ini diberikan kebenaran untuk ahli sahaja. Dan pada masa yang sama, kita perlu sampai (maklumat) kepada masyarakat umum. Itu yang menimbulkan dilema," katanya.

1. SU Dewan Ulama: Ada 'ketidakselarasan' di Harakah

2. Pemuda PAS mahu Harakah 'distruktur semula'

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.