SPA tunggu laporan kes ketua pengarah khalwat

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata, beliau akan menunggu laporan sebelum mengambil tindakan ke atas Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman Hasan yang didenda di Mahkamah Tinggi Syariah atas kesalahan khalwat.

"Bila berlaku sesuatu begini, ketua jabatan dlm hal ini dan kementerian berkenaan akan merujuk pada SPA.

"Sehingga sekarang, kami tidak menerima apa-apa lagi daripada kementerian kesihatan. Jadi kita menunggu.

"Mesyuarat SPA Malaysia akan diadakan setiap Isnin, (maka) hari Isnin ini kita akan buat mesyuarat. Jadi, apa bentuk tindakan kita akan putuskan dalam mesyuarat.

Jelasnya, bentuk tindakan yang akan diambil itu bergantung pada laporan yang dikemukakan kementerian dan jabatan berkenaan.

NONEHasan didenda RM3,000 pada Rabu lalu atas kesalahan berkhalwat dengan pegawai di kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan di sebuah bilik hotel di Putrajaya pada awal pagi hari yang sama.

Wan Syarifah Nooraazmanita turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900 oleh mahkamah sama.

Mahmood bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas menandatangani program kerjasama persediaan calon menghadapi peperiksaan dan temuduga SPA hari ini.

Dalam sidang media sama, beliau turut mengulas mengenai arahan pertukaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Datuk Zainal Abidin A'ala ke Institut Tadbiran Awam.

Katanya, isu berhubung pertukaran penjawat awam berada bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bukannya suruhanjaya tersebut.

"Pertukaran bukan pada kita tapi pada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Tanya JPA. SPA hanya buat enam perkara sahaja. Pertukaran tidak termasuk di bawah bidang kuasa SPA," kata Mahmood.

Katanya, antara tanggungjawab SPA adalah berhubung pengambilan kakitangan, kenaikan pangkat dan juga skim pencen.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.