'Kes keganasan terhadap wanita perlu disiasat segera'

Isu keganasan terhadap wanita di negara ini termasuk melibatkan warga asing perlu disiasat dengan lebih cepat bagi memberi isyarat jelas bahawa Malaysia serius dalam menangani isu terbabit, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Wanita Barisan Nasional (BN) memandang amat serius isu keganasan terhadap wanita dan kami mahu pihak polis mempercepatkan penyiasatan secara menyeluruh.
    
"Keganasan terhadap wanita tidak boleh diterima sama sekali di negara ini dan kita perlu memberi isyarat betul mengenai isu itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Deepavali Wanita BN di Port Dickson hari ini.
    
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
    
Shahrizat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes rogol membabitkan wanita warga Indonesia yang berlaku di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
    
Beliau berkata, sama ada rakyat Malaysia atau warga asing, wanita yang menjadi mangsa keganasan perlu diberi layanan yang sama dalam mendapatkan keadilan.
    
Dalam perkembangan lain, Shahrizat, yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata golongan wanita dijangka menjadi penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
    
Katanya, ini kerana jentera BN dan pengundi di negara ini sebahagian
besarnya terdiri daripada golongan itu.
    
Sementara itu, Mohamad berkata kerjasama semua jentera parti termasuk wanita adalah amat penting dalam usaha BN untuk merampas kembali beberapa kerusi yang kalah di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum 2008.
    
"Hasrat kita, hasrat wanita BN adalah untuk pastikan supaya kita bekerja lebih kuat lagi supaya kerusi Parlimen Teluk Kemang, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut, Chuah dan Port Dickson yang kita kalah dapat dimenangi semula," katanya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.