PM: K'jaan yakin NGO Cina tak sokong fahaman ekstrem

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa percaya bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang pelbagai bukanlah badan yang menyokong fahaman ekstrem atau melampau.
    
Beliau berkata kepelbagaian NGO Cina yang ditubuhkan sama ada berasaskan nama keluarga, daerah, dialek atau perniagaan sebenarnya menolak fahaman itu namun mengamalkan kesederhanaan sebagai satu penghayatan.
    
Katanya keyakinan itu berasaskan kepada kepercayaan dan kefahaman confusciusnism yang satu daripada intipati ajaran yang dipegang masyarakat Tiong Hua itu sejak 30,000 tahun lepas ialah kesederhanaan atau `Zhong Yong' yang banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikiran masyarakat Cina di negara ini.

"Kesederhanaan bererti kita menolak kefahaman yang ekstrem dan kita maklum bahawa pertubuhan-pertubuhan Cina bukan pelampau, tetapi merupakan badan yang mengamalkan kesederhanaan sebagai satu penghayatan.
    
"Walau apa pun NGO itu berasas, yang penting bahawa kita semua percaya kita boleh memainkan peranan untuk menentukan usaha untuk melakukan transformasi membawa Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi akan berjaya," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia (PKCM) ke-29, di Sekolah Menengah Pay Fong, Bandar Melaka malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
    
Najib berkata di sebalik pelbagai tanggapan, beliau percaya pertubuhan atau NGO Cina tetap boleh memainkan peranan yang besar dalam membantu usaha kerajaan melakukan transformasi terhadap pembangunan negara.
    
Perdana menteri berkata dasar inklusif dan keadilan sosial yang diterapkan di dalam pentadbiran kerajaan mampu membawa setiap rakyat merealisasikan keupayaan mereka secara maksimum bagi membantu menjayakan setiap agenda pembangunan yang akhirnya akan melahirkan sebuah negara yang lebih adil dan saksama kepada semua.
    
Untuk itu, beliau meminta badan atau pertubuhan Cina untuk memainkan peranan membangkitkan kesedaran rakyat berhubung kepentingan meneruskan kesinambungan dalam memilih kerajaan memerintah.
    
"Rakyat Amerika telah membuat keputusan memilih Presiden Obama kerana mereka percaya bahawa kesinambungan lebih penting daripada keadaan yang tidak menentu.
    
"... dan saya percaya rakyat Malaysia pun tahu sekiranya kita ingin melihat Malaysia muncul sebagai negara maju dalam masa tujuh tahun akan datang, amat penting kerajaan yang ada hari ini diberi masa yang secukupnya untuk menunjukkan kebolehan membawa perubahan yang besar pada negara," katanya.
    
Mengenai kebudayaan Cina, Najib berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf dan memelihara warisan kaum itu termasuk mengisytiharkan Gendang 24 Perayaan, Perarakan Tokong Kuni, Tarian Singa Bertiang Tinggi dan 'Penang Char Kue Tiaw' sebagai warisan kebangsaan.
    
Beliau berkata kebijaksanaan pemimpin terdahulu telah menjadikan
kepelbagaian agama, budaya dan kaum di Malaysia sebagai suatu yang istimewa, unik dan tidak menjadi penghalang, sebaliknya dijadikan asas untuk membina sebuah negara bangsa yang banyak membawa pembaharuan dan kejayaan kepada negara kini.
    
"Kita telah memilih jalan integrasi dan bukan asimilasi sebab itulah kita boleh lihat bagaimana kepelbagaian merupakan satu keistimewaan pada negara yang mana setiap kaum dapat mengekalkan warisan tradisi masing-masing dan boleh menyumbang kepada kejayaan negara," katanya.
    
Sementara itu, Mohd Ali dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada perdana menteri dan kerajaan Persekutuan kerana menyumbangkan RM330,000 bagi menjayakan PKCM, yang bermula sejak 10 Nov lepas dengan objektif untuk memartabat keunikan budaya masyarakat Cina di negara ini.
    
PKCM merupakan acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir di antara negeri-negeri sejak 1991 dan pesta itu telah menjadi antara program utama di bawah naungan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), sebuah pertubuhan yang menaungi semua 13 Dewan Perhimpunan Cina di Malaysia.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.