Gaza rayu bantuan bekalan perubatan

Gaza sangat memerlukan bekalan perubatan asas yang telah berkurangan sejak serangan udara dipergiatkan tentera Israel baru-baru ini, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan 200 individu, termasuk kanak-kanak.
    
Hatem Shurrab, Pengurus Media di Islamic Relief Palestine (IRP), berkata bantuan perubatan telah menjadi keutamaan tertinggi organisasi bantuan kemanusiaan. Terdapat kekurangan bekalan perubatan di Gaza dan ia semakin teruk selepas serangan.
    
"Hospital menghadapi masalah kekurangan bekalan perubatan antara tiga hingga empat tahun yang lalu. Namun, kini dengan serangan yang dipergiatkan, hospital tidak dapat memenuhi keperluan mangsa yang cedera yang datang dalam setiap beberapa minit," katanya dari Gaza dalam sidang video yang diatur oleh Islamic Relief Malaysia (IRM), di Bangi semalam.
    
Shurrab berkata ketika IRP melawat ke Gaza Central Hospital, mereka
mendapati banyak mangsa, kebanyakannya kanak-kanak. IRP bimbang kemmungkinan akan berlaku serangan di darat dalam beberapa hari akan datang.
    
Katanya, hampir separuh daripada mangsa yang cedera adalah kanak-kanak dan sebilangan mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Laporan mengatakan bahawa Ahmad Jabari, komander sayap tentera Hamas, telah terbunuh dalam beberapa serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza pada Rabu. Beberapa serangan udara terus berlaku selepas ini dan membunuh lebih 19 orang, termasuk enam kanak-kanak.
    
Ini merupakan serangan terhebat ke atas wilayah Palestin dalam tempoh empat tahun sebagai tindakan balas ekoran serangan semula roket di selatan Israel, menurut laporan itu.
    
Shurrab berkata, menurut seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan, hospital memerlukan ubat-ubatan asas, sebahagian daripada 100 barangan yang semakin cepat berkurangan.
    
"Ubat-ubatan penting adalah kritikal pada masa ini dan kami menggesa negara-negara di seluruh dunia untuk menyokong kami supaya kami dapat menyediakan keperluan penjagaan kesihatan asas kepada mangsa yang cedera," katanya.
    
Menurut IRP, serangan udara disasarkan di kawasan berbeza di seluruh Semenajung Gaza pada hari Khamis, dengan serangan roket dilancarkan dari Gaza ke arah Israel.
    
Beliau berkata Gaza kini musnah akibat serangan yang dipergiat sekaligus memberi kesan kepada rakyatnya.
    
"Ia adalah amat sukar untuk hidup di Gaza kerana setiap beberapa minit, terdapat letupan baru. Hanya beberapa minit lalu, satu letupan besar berlaku berhampiran rumah saya dan saya dapat melihat kerosakan melalui tingkap," katanya.
    
Menjawab soalan mengenai pengagihan bantuan makanan dan bukan makanan, beliau berkata sejak serangan udara berlaku, tiada lagi keperluan sebenar untuk bekalan makanan. Bagaimanapun, kekurangan makanan mungkin berlaku jika 'pencerobohan tanah' bermula.
    
Katanya, sekiranya ini berlaku barangan makanan dan bukan makanan boleh dibawa masuk melalui koordinasi dengan rakan kemanusiaan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Program Makanan Sedunia (WFP) sama ada melalui Mesir atau sempadan Israel. Menurut Shurrab, Israel telah membuka sempadannya untuk bantuan kemanusiaan, ketika perang sebelum ini.
    
Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia akan menyokong usaha kemanusiaan, rakyat Palestin dan IRM supaya bantuan boleh disampaikan kepada mangsa.
    
Sementara itu, Pengarah Negara IRM, Dr Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata pada masa ini terdapat bekalan mencukupi untuk 500 keluarga.
    
"Bagaimanapun, sekiranya serangan diperhebatkan pada hari-hari akan datang, termasuk pencerobohan tanah, krisis kemanusiaan akan meningkat kerana akan terdapat anjakan. Apabila ini berlaku, kita perlu memberikan bantuan makanan dan bukan makanan untuk sekurang-kurangnya 10,000 keluarga," tambahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima panggilan daripada Presiden Mesir Mohamed Morsi malam tadi membincangkan serangan terbaru tentera Israel dan serangan udara di Gaza.
   
Dalam panggilan telefon selama 15-minit, kedua-dua pemimpin melahirkan asrat untuk bekerjasama menamatkan keganasan semasa di Gaza.
   
Satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa kedua-dua egara bersetuju mendapatkan broker kuasa antarabangsa untuk mempengaruhi Israel menghentikan pencerobohan tenteranya terhadap rakyat Palestin.
   
Najib dan Mohamed juga menggesa Hamas untuk mengelak daripada tindakan yang akan meningkat konflik ke dalam konfrontasi lebih besar.

Serangan udara Israel sejak dua hari lalu telah mengorbankan 19 penduduk alestin termasuk enam kanak-kanak dan seorang wanita mengandung.   
   
- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.