Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: Bawa kes ke mahkamah reda ketegangan M'sia-Indonesia

Tindakan membicarakan tiga anggota polis di mahkamah yang didakwa atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang warga Indonesia di Pulau Pinang diharap dapat mengurangkan ketegangan antara kedua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, kejadian yang menimpa seorang wanita warga Indonesia berumur 25 tahun itu telah menimbulkan keresahan kedua-dua negara - Malaysia dan Indonesia.

Sehubungan itu, beliau berharap, dengan tindakan yang diambil, ia dapat meredakan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara republik itu.

"Dakwaan negara jiran dalam kes ini (merupakan) cabaran kepada kita. Perkara ini boleh menimbulkan keresahan kedua-dua negara. Saya rasa tindakan yang kita ambil di mahkamah dapat mengurangkan dan meredakan ketegangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Semalam, Tiga anggota polis itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth.

Konstabel Remmy Anak Dana, 25, Koperal Nik Sin Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di antara jam 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 November lalu.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada  tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan rogol mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan diluar tabii mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, isu tiga anggota polis Malaysia yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia itu telah menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan berdemonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara di Jakarta Selasa lalu.

Dalam demonstrasi pada pukul 1 petang itu, kira-kira 20 orang yang mewakili kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mendesak kerajaan Indonesia mengusir Duta Besar Malaysia dari republik itu selain bertindak membakar bendera Malaysia bagi menunjukkan kemarahan terhadap kejadian yang berlaku ke atas wanita itu.

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut mendesak Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bertindak tegas berhubung kejadian itu dengan mengusir Duta Besar Malaysia ke Indonesia dari republik itu.

ADS