JK PAS redakan keresahan isu kepimpinan ulama

MUKTAMAR PAS ULASAN Selepas empat hari bersidang termasuk melibatkan sayap-sayap parti, masih ada perwakilan yang meluahkan keresahan mereka berhubung dasar kepimpinan ulama  - yang menjadi tunjang kepada parti itu sekian lama.

Mereka merasakan kononya ada usaha merombak atau mengubah dasar itu, sehingga tidak mampu menahan kebimbangan mereka dan dihamburkan dalam perbahasan dalam Muktamar PAS ke-58 yang sedang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK).

opposition boycott by-election 110107 mohamad sabuKebimbangan itu dilihat mungkin ada asasnya selepas kemenangan ramai golongan profesional dalam  pemilihan parti yang lalu, termasuk kejayaan Mohamad Sabu (kiri) - yang bukan berlatar agama - menang jawatan timbalan presiden, dan terbawa-bawa ke dalam muktamar kali ini.

Kemudian, penegasan perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat dalam muktamar tahunan mereka di Perdana Resort, Kota Bharu pada 15 November lalu, dengan tegas mahu dasar itu dipertahankan sekaligus meluluskan usul mahu ulama diberi peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri PAS.

Usul sebulat suara itu diluluskan kerana mahu ulama mempastikan kerajaan yang dipimpin oleh PAS tidak tergelincir daripada matlamat perjuangan PAS. Malah dewan itu mahu menjadi benteng dengan memelihara Islam daripada pemikiran yang merosakkan.

Keresahan itu diluahkan secara terbuka semalam, oleh sekurang-kurang dua perwakilan dari Pahang dan Pulau Pinang membangkitkan hal yang sama dalam perbahasan usul ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, sewaktu penggulungan ucapan dasar itu, bingkas beberapa kepimpinan tertinggi PAS pusat tampil meredakan keresahan para perwakilan itu dengan menafikan usaha "merombak" dasar itu yang telah diluluskan dalam Muktamar pada 1982.

NONEMenceritakan usul kepimpinan ulama yang diangkat menjadi dasar parti sewaktu beliau terlibat dalam Dewan Pemuda PAS, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (kanan) menegaskan beliau tidak fikir dasar itu akan diubah kerana yakin "tiada siapa yang berniat" untuk melakukannya.

"Usul kepimpinan ulama sudah dilembagakan dalam perlembagaan parti. Nak bawa kepimpinan ulama mesti pindaan perlembagaan apatah lagi, kalau nak rombak (perlu dibawa) kepada muktamar.

"Jadi usah ada kerisauan terhadap individu dalam parti konon berlakunya perubahan pimpinan daripada kepimpinan ulama ...Keputusan eksekutif mesti dirujuk ke Majlis Syura Ulama terlebih dahulu... Jadi usah ada risau dan takut akan berlaku perubahan kepimpinan ulama," katanya.

Kenyataan Mahfuz itu dilihat menghilangkan sedikit keresahan, namun rakan sejawatnya Datuk Husam Musa (bawah) pula mengukuh dengan kisah pendek bagaimana usul kepimpinan ulama diperkenalkan dan diluluskan selepas bekas presiden PAS Datuk Asri Muda melepaskan jawatannya itu.

NONEKatanya, selepas surat peletakan jawatan itu dibacakan, lantas seorang ulama Abdul Samad Noh bangun membaca sepotong ayat Al-Quran dan menyatakan "sesiapa yang menyokong PAS kerana Asri, Asri sudah pergi, tetapi sesiapa menyokong PAS kerana Allah dan Rasul, maka Allah dan Rasul tetap bersama kita".

"Ini memberikan keyakinan kepada saya bahawa kepimpinan ulama mempunyai ketrampilan yang sangat menarik. Dan saya berasa bertuah kerana sempat berada di bawah bimbingan YAB Datuk Mursyidul Am baik dalam PAS Kelantan atau di pejabat beliau pada waktu itu.

"Pelajaran yang paling penting daripada beliau, bagaimana mengolah gerakan Islam dan PAS diterima oleh masyarakat berbagai latar belakang kaum, dan bagaimana menghilangkan fobia bahawa Islam tidak mampu mentadbir," katanya.

NONETidak cukup dengan itu, seorang lagi Naib Presiden Salahudin Ayub (kiri) bangkit, mengukuhkan lagi hujah yang dinyatakan oleh ahli parlimen Pokok Sena dan exco kerajaan negeri Kelantan itu.

Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian itu berkata, beliau bersama-sama Mahfuz memikirkan usaha melahirkan ulama muda sewaktu mereka bergelumang dalam Dewan Pemuda PAS.

"Mereka inilah yang akan menggantikan tempat kita. Tidak akan putus era kecemerlangan ini. Kita belajar daripada Allahyarham Ustaz Fadhil Nor, Yusuf Rawa dan Tok Guru Nik Aziz yang ada pada hari ini," katanya.

Sambil merayu supaya tidak memikirkan adanya usaha merombak kepimpinan ulama, Salahudin menegaskan musuh cuba memecahbelahkan parti dengan perkara itu.

"Umno tidak boleh lawan kita, kerana kita ada kepimpinan ulama...Setiap muktamar wujudnya ulama dan tidak ulama. Setiap muktamar datang jarum-jarum beracun untuk menyerang kita. Kita menjunjung tinggi konsep kepimpinan ulama dan ini tidak mungkin berubah," tegas Salahudin.

Katanya, sepatutnya tenaga kedua-dua kumpulan itu digembleng dan disinergikan untuk kebaikan parti itu pada masa akan datang.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.