Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Muktamar PAS ke-58 yang melabuhkan tirainya semalam pastinya meniup semangat berkobar-kobar kepada ahli dan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang bakal diumumkan pada bila-bila masa.

Pelbagai saranan, kritikan, cadangan dan arahan diberikan oleh pucuk pimpinan parti dan diperdebatkan oleh perwakilan demi menghasil "satu input masak" agar memastikan fokus mereka tidak tersasar dengan gerak kerja agresif menggantikan Umno.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya menggariskan empat tindakan khusus kepada jentera parti di semua peringkat supaya lebih berdisplin dan bersedia segala aspek bagi memastikan kemenangan sebanyak mungkin kerusi yang ditandingi.

Lapan arahan khusus juga dikeluarkan kepada ahli dan pemimpin supaya mematuhi segala arahan dan keputusan parti bagi menjamin kesepaduan dan keutuhan dalam jamaah dan hubungan dengan masyarat umum dan pengundi.

Semuanya itu terfokus kepada satu matlamat "unggul" – memastikan Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum ke-13 dengan harapan PAS dapat merealisasikan tawaran Negara Berkebajikan dan janji dalam Buku Jingga.

Tumpuan PAS pada tawaran Negara Berkebajikan itu dapat dilihat apabila ia sekali lagi dipilih sebagai tema muktamar pada tahun ini.

Soal kerjasama di kalangan jentera parti itu turut ditekankan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan amanat kepada lebih 1,000 perwakilan dalam muktamar terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.

"Kita perlu membuat persediaan dengan penuh ikhlas, baru datang pertolongan Allah... Berdepan dengan gelombang dan ribut (di lautan), maka kita perlu sabar dan istiqamah (konsisten).

"Kalau pening pergi tidur dulu, bangun lawan balik. Jangan terjun (ke dalam laut). Kerana lambat sangat untuk sampai (ke daratan), kita terjun.

"Kalau terjun juga, jerung sedang menunggu (di dasar). Kapten yang membawa kapal, kita ada kompas, jangan campak ke laut (kerana kecewa)," kata Abdul Hadi berkias.

Beliau turut membacakan serangkap pantun di akhir ucapan penangguhannya sebagai bekalan untuk menguatkan rohani para perwakilan itu yang akan pulang untuk menyusun strategi agresif menentang BN.

"PAS bersama Pakatan Rakyat/ Membujur lalu melintang patah/ Terus berjuang Islam daulat/ Jangan melenting jangan melatah."

PAS dilihat menyedari hakikat bahawa parti itu tidak mampu bersendirian tetapi perlu bersama rakan gabungannya dalam Pakatan Rakyat untuk merampas Putrajaya.

Hadi menegaskan, mereka memilih jalinan konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang dibina di atas resolusi bersama berdasarkan paksi perlembagaan sekalipun "syaitan yang dikenali dan tidak dikenali" sentiasa mengintai ruang untuk memecahkan kesepakatan dengan isu tertentu.

Isu kerjasama PAS dengan Pakatan itu juga ditetapkannya sebagai asas perbincangan untuk muktamar kali ini, dalam ucapan dasarnya ketika membuka gelanggang persidangan pada 16 November lalu.

"Iltizam politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif  dalam mengurus pentadbiran negeri dan negara," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar.

Hal itu seterusnya dipertegas Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata Majlis Syura Ulama yang mempertahan dan mempertegaskan kerjasama berkenaan - sekaligus menolak kesangsian bahawa parti itu terpesong daripada matlamat asal penubuhannya.

Namun, isu melibatkan pertembungan kumpulan yang berbeza latar belakang dan aliran pemikiran di kalangan pimpinan PAS, yang dikatakan sedikit sebanyak mengganggu tahaluf di antara mereka, tetap timbul dalam muktamar kali ini.

Pertembungan kumpulan ulama dan profesional dalam PAS yang dikatakan bermula selepas pemilihan parti itu tahun lalu, terpancar dalam sindiran sinis dan tajam seperti "fikrah al-haddamah",  "pemimpin yang panjang tangan dan lidah" dan "fikrah songsang, keliru dan celaru" yang didakwa boleh merosakkan parti dan jamaah.

Hinggakan, timbul cadangan daripada perwakilan supaya individu yang terlibat ditolak supaya tidak terus menjadi "duri dalam daging", jika terus berada di dalam parti melakukan perkara sedemikian.

Isu berkenaan bagaimanapun didamaikan Abdul Hadi yang bertindak sebagai orang tengah dengan kenyataan bahawa pertembungan kumpulan tersebut "tidak timbul" dan hanya merupakan isu "mengarut" kerana kedua-dua golongan itu saling perlu-memerlukan di dalam PAS.

"Majlis Syura tidak jumud dan terbelenggu, kerana melibatkan kalangan profesional untuk memberi penjelasan berhubung perkara duniawi

"Tidak timbul kumpulan ulama, profesional, kumpulan laga ayam... Ini mengarut dan jangan terikut-ikut dengan lawan kita," kata ahli parlimen Marang itu.

Dalam latar itu, timbul pula persoalan mengapa muktamar kali ini tidak hangat membincangkan soal hudud yang menjadi asas perjuangan parti itu sejak sekian lama.

Perkara itu antara lainnya cuba dibangkitkan wakil Wilayah Persekutuan Al-Zahari Arip yang menempelak kumpulan tertentu dalam PAS dengan saranan bahawa parti parti tidak perlu gopoh melaksanakan hukum hudud memandangkan suasana pada masa ini "tidak kondusif".

Kehangatan perbahasan isu tersebut, seperti yang giat dipromosikan media pro-kerajaan, bagaimanapun tidak mencapai maksud tersebut memandangkan hanya Al-Zahari sahaja yang giat mengupas isu berkenaan secara khusus sewaktu membahaskan ucapan presiden.

Perkara itu juga disentuh Abdul Hadi yang meminta anggota PAS bersabar dalam melihat pelaksanaannya.

"Perlaksanaan syariat Islam, mengikut proses muwajahah silmiyah (berdepan secara damai). Ia perlu diutamakan... Kalau tidak boleh capai semua, jangan tinggal semua," jawab Abdul Hadi dalam ucapan penangguhannya.

Isu berkenaan juga terus ditimbulkan dalam sidang media Abdul Hadi – terutamanya persoalan sama ada PAS akan melaksanakan hukum jenayah syariah tersebut.

Mengulas perkara itu, Hadi menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang itu merupakan hak kepada orang Islam.

Namun PAS tidak akan memaksanya ke atas orang bukan Islam, kata Hadi yang bertegas untuk melaksanakan hukum jenayah syariah itu secara demokrasi.

Dengan berlabuhnya tirai muktamar, persoalan yang perlu dinilai pada masa ini adalah sama ada PAS mampu mencipta kejayaan dengan semua arahan, kritikan dan cadangan yang diperhalusi di persidangan kali ini.

Tambahan pula, Majlis Syura Ulama sendiri menyatakan sokongan padu ke atas tahaluf siyasi di antara PAS dengan parti dalam Pakatan.

Seterusnya, tahap kematangan yang ditunjukkan PAS dalam muktamar ini juga selayaknya memberi gambaran kepada kemampuan parti itu untuk mendabik dada sebagai parti yang layak memimpin negara - sejajar dengan cita-citanya untuk ke Putrajaya.

Adakah parti itu sememangnya mampu memenangi semua kerusi yang diidamkannya atau hanya cakap berdegar-degar?

ADS