Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hishammuddin: PAS elak masalah dalam Pakatan

Serangan bertali arus PAS terhadap Umno sejak kebelakangan ini hanya sekadar taktik parti itu yang mahu mengalih pandangan umum daripada masalahnya dengan rakan pakatan mereka.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antara lain PAS tidak mahu rakyat mempersoalkan kebisuan mereka tentang hudud dan isu kebebasan beragama yang dicetus Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sepanjang muktamar PAS kali ini.

"Dulupun mereka kata kita kafir, dulupun mereka kata Presiden kita firaun, dulu pun kata presiden dan perdana menteri kita penternak khinzir.

"...dan kata orang Umno tak akan ke syurga tetapi kerana masalah dalaman mereka sendiri di antara PAS, DAP dan PKR, kenyataan pemimpin-pemimpin mereka yang bercanggah, mereka terpaksa mengalih pandangan perkara lain terhadap Umno dan BN," katanya pada sidang media selepas Program Berkhatan Beramai-ramai Umno Bahagian Batu, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan terkini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan Umno murtad.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut tidak menolak kemungkinan akan ada serangan peribadi lebih hebat yang dilancar PAS terhadap Umno menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Justeru, beliau menyeru kepada semua anggota Umno agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian yang ingin ditanam PAS, sebaliknya perlu bertindak bijak bagi menangani taktik kotor mereka.

Katanya jika anggota Umno turut terkesan dengan politik kebencian itu dan terlalu mengikut emosi, tidak mustahil Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk akan berisiko mengalami perpecahan seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat.

- Bernama

ADS