Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengakui bahawa beliau memberi cadangan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung penggantian Yang DiPertua Majlis Perbandaran Selayang Datuk Zainal Abidin A'ala.

Beliau menjelaskan, cadangannya kepada pegawai penjawatan dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu adalah untuk memastikan kesinambungan dalam pengurusan sumber manusia untuk pegawai kerajaan yang berkhidmat di Selangor.

NONE "Sebagai MB Selangor saya juga mesti lihat apa yang kita panggil sebagai pelan peralihan. Saya membuat beberapa usaha supaya pelan peralihan dapat dilakukan.

"Jadi, kalau saya tahu seseorang datuk bandar itu ada setahun lagi untuk jadi datuk bandar dan kemudian dia pencen, saya tak nak tunggu sampai dia pencen baru saya nak cari orang.

"Saya kena cari dari awal," katanya pada sidang media selepas pembentangan belanjawan Selangor bagi tahun 2013 petang tadi.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ali Hamsa pada Jumaat lalu bahawa penamatan peminjaman Zainal Abidin sebagai Yang Dipertua MPS dibuat atas cadangan kerajaan negeri Selangor.

Kuasa tolak, lantik YDP dan Datuk Bandar

Pada masa sama, beliau berkata kenyataan Ali bahawa cadangan pertukaran itu datang dari beliau sendiri mengesahkan bahawa menteri besar dan kerajaan negeri berhak memilih YDP majlis perbandaran atau datuk bandar.

"Sekarang beliau mengesahkan saya ada kuasa menolak atau melantik YDP atau datuk bandar. Saya sangat gembira dengan pengesahan ini.

"Sekarang, seperti yang difahamkan kerajaan negeri, kuasa melantik datuk bandar atau YDP berada pada tangan menteri besar dan negeri," katanya.

Tambahnya, beliau telah bertemu dengan pegawai penjawatan dari pejabat SUK berhubung pelantikan YDP MPS yang baru dan memohon agar beberapa nama calon YDP baru dikemukakan untuk pertimbangannya.

"Saya dah pilih tapi sampai hari ini saya tak tahu sama ada dia dah setuju atau tidak," katanya.

Penukaran Zainal Abidin ke Institut Tadbiran Awam negara (INTAN) sebelum ini dianggap bersifat politik apabila ia berlaku selepas beliau mengeluarkan kenyataan bahawa projek kondominium Park Avenue di Batu Caves diluluskan sewaktu BN memerintah Selangor.

Zainal dimaklumkan JPA pada pagi 14 November dan beliau diarahkan

bertugas di INTAN berkuatkuasa 15 November.

ADS