M'sia ditangga ke-8 paling bahagia - IGP

Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas diumumkan menjadi negara kelapan paling bahagia daripada 100 buah negara, melalui Indeks Kebahagian yang dikeluarkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata laporan indeks keluaran World Happiness Report dan diterbitkan oleh The Earth Institute, Columbia University itu berjaya mengatasi negara maju lain.

"Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat di tempat ke-23, Kanada (24), Jepun (34) dan Korea Selatan ke-38.

“Saya berkongsi maklumat ini kerana segala tindakan dan keberkesanan kita adalah selari dengan kebahagian masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua Agensi Polis Bantuan bersama Pegawai Kanan PDRM ke-24 di Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Kota Kinabalu, hari ini.

Justeru, katanya, semua pihak perlu menggandakan usaha agar masyarakat di negara ini terus hidup aman dan bahagia.

Persidangan dua hari itu dihadiri 200 peserta terdiri daripada pegawai kanan polis dan ketua agensi polis bantuan seluruh negara.

Pengarah Urusan SESB Abd. Razak Sallim berkata penganjuran persidangan itu bagi memantapkan kerjasama dan hubungan dua hala di antara agensi polis bantuan dan Polis Diraja Malaysia agar imej pasukan polis dapat dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.