Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menggesa supaya negara menghantar bantuan ketenteraan kepada warga Palestin di Gaza yang menghadapi serangan daripada tentera Israel.

Berucap ketika membahaskan usul khas mengutuk tindakan negara Yahudi itu, Abdul Hadi (PAS-Marang berkata bantuan ketenteraan itu boleh dianggap sebagai perkara yang diperlukan Palestin.

Tambahnya, boikot ekonomi perlu dilaksanakan ke atas Israel, selain boikot oleh media Malaysia terhadap agensi berita yang masih dikuasai zionis dan mempertahankan negara Israel itu.

NONE Bantuan ketenteraan boleh diberikan untuk memberi pengajaran ke atas "negara haram" itu, katanya yang menyokong usul berkenaan.

Kenyataan Hadi itu selari dengan tuntutan MP Rembau Khairy Jamaluddin dalam media sosial Twitter hari ini yang mencadangkan sekiranya negara Islam patut menghantar senjara ke Gaza.

“Keganasan akan menghasilkan keganasan namun wujud keperluan untuk pertahanan yang adil. Tiba masanya dunia Islam berfikir mengenai menghantar senjata ke Palestin," katanya.

Usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengutuk siri serangan terbaru Israel ke wilayah Gaza di Palestin, yang menyebabkan beratus orang meninggal dunia.

Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan selama 90 minit.

"Rakyat malaysia berpegang teguh dengan pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza," katanya ketika membentangkan usul tersebut.

Usul itu menzahirkan kekecewaan dan kekesalan terhadap ketidakupayaan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – yang dilumpuhkan oleh kuasa veto Amerika Syarikat – dalam menghentikan keganasan yang dilakukan rejim Israel ke atas Gaza.

[Baca berita penuh]

ADS