Polis serbu hampir 7,000 premis judi di S'gor

Polis menjalankan hampir 7,000 serbuan  di premis yang menjalankan aktiviti mesin perjudian di seluruh Selangor dalam 'Ops Dadu' sejak awal tahun ini sehingga Oktober lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata 6,927 serbuan dijalankan sehingga Oktober tahun ini berbanding 4,778 serbuan sepanjang tahun lepas dengan menyaksikan daerah Klang Selatan dan Petaling Jaya sebagai lokasi serbuan terbanyak.
    
"Daripada jumlah itu 1,748 tangkapan membabitkan pengusaha premis mesin perjudian itu dibuat dengan rampasan mencecah 23,114 alatan dan mesin perjudian dari seluruh Selangor," katanya dalam sidang media hari ini.
    
Beliau berkata rampasan alatan perjudian yang kebanyakannya dibawa masuk dari negara jiran itu mencatatkan peningkatan 53 peratus berbanding tahun lepas yang hanya membabitkan rampasan 15,074 alatan serta mesin perjudian.
    
Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata sehingga Oktober tahun ini 1,236 kes seumpama itu dicatatkan di mana 853 kes daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala 300 kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata bagi mengekang operasi premis mesin perjudian itu semua  pihak perlu memberikan kerjasama kepada pihak polis termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Katanya PBT perlu mengambil tindakan menyita premis perjudian terbabit manakala TNB memotong bekalan elektrik bagi memastikan pengusaha pusat berkenaan tidak membuka semula operasi mereka selepas diserbu pihak berkuasa.
    
Tun Hisan berkata individu termasuk ibu bapa dan masyarakat juga perlu bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan gejala dan tabiat berjudi tidak berleluasa.
    
"Ibu bapa perlu mengawal anak-anak, isteri mengawal suami dan begitulah sebaliknya kerana tabiat berjudi merupakan satu yang negatif malah ia merupakan 'victimless crime' kerana mangsa kepada jenayah judi ialah individu itu sendiri yang memilih untuk berjudi," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.