'SMS harijadi BN S'gor untuk tunjuk kasih sayang'

Mesej sistem pesanan ringkas (SMS) BN Selangor kepada pengundi di negeri itu tidak menceroboh privasi pengundi dan bertujuan menunjukkan kasih sayang penyelaras BN Selangor kepada pengundi, kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang ingin tahu jika SMS dari penyelaras BN Selangor, Datuk Zin Mohamed itu mencabuli Akta Perlindungan Maklumat Peribadi 2010 yang berkuat kuasa Jun tahun ini.

"Saya percaya tak menyalahi akta yang kita luluskan di dewan ini.

"Apa salahnya Yang Berhormat tahu nombor telefon pengundi Yang Berhormat.

"Ini menunjukkan kasih sayang kepada seseorang yg menerima mesej yang saya kira (perbuatan itu) cantik," katanya.

Menurut Joseph, Teo juga boleh berbuat demikian jika beliau mahu "menyenangkan hati pemilihnya".

Penjelasan Joseph itu bagaimanapun dibidas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang merasakan mesej itu tidak membawa apa-apa erti kerana dihantar secara siaraya dan tiada sentuhan peribadi.

"Saya rasa YB menidakkan mesej Yang Berhormat sendiri.

"Mesej (SMS) yang dihantar itu secara siaraya.

"Saya rasa tak wajar kita jadi apologis kepada syarikat telekomunikasi yg melanggar privasi kita," kata Ooi ringkas.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.