Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Kedah hari ini membentangkan belanjawan 2013 defisit berjumlah RM1.1 bilion berbanding anggaran hasil RM640 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata daripada jumlah itu, RM657 juta ialah bagi perbelanjaan mengurus, RM369 juta perbelanjaan pembangunan dan RM57.5 juta untuk bekalan air.

Di bawah perbelanjaan mengurus, sejumlah RM231.5 juta ialah untuk bayaran emolumen; RM121.2 juta bagi perkhidmatan dan bekalan; RM230.4 juta pemberian dan kenaikan tetap; RM13.8 juta pembekalan aset dan RM6.8 juta untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak 61.17 peratus atau RM225.24 juta ialah untuk sektor infra; 11.65 peratus atau RM43 juta bagi pentadbiran; 19.78 peratus atau RM73 juta untuk sosial; 6.84 peratus atau RM25.24 juta sektor pertanian, 0.34 peratus atau RM1.26 juta untuk sektor pelancongan dan 0.22 peratus atau 0.8 juta bagi pembangunan sukan.

Azizan berkata kerajaan negeri menjangkakan kutipan hasil negeri pada 2013 meningkat daripada RM550 juta pada 2012 kepada RM640 juta, dengan jumlah peningkatan sebanyak RM105.6 juta akan disumbang oleh hasil premium tanah di Langkawi, Alor Setar dan Bandar Baharu serta bayaran jualan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan kerajaan Pulau Pinang.

Beliau juga berkata empat strategi akan dilaksana iaitu mempertingkat pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan modal insan serta memperkasa tadbir urus kerajaan negeri.

Menerusi strategi mempertingkat pertumbuhan ekonomi, kerajaan negeri masih bergantung kepada sektor pertanian apabila Menteri Besar mengumumkan perancangan untuk menjadi hab pengeluaran makanan, membangun projek sawah gemilang, menjadi pengeluar utama ayam daging di kawasan utara serta memajukan ternakan ikan dalam sangkar selain industi pelancongan.

Dalam mempertingkat kesejahteraan rakyat, Azizan berkata kerajaan negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir di beberapa kawasan melibatkan peruntukan RM3 juta, manakala RM2 juta lagi untuk membantu keluarga miskin.

Menerusi usaha mempertingkat modal insan pula, beliau berkata kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil hampir siap dan akan dirasmikan awal tahun depan.

Menyentuh pentadbiran, katanya, kerajaan negeri menerima pakai dasar kerajaan Persekutuan dalam soal pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada petugas kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.

Sementara itu, Azizan mengaku ada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gagal mencapai sasaran dalam tempoh lima tahun kerajaan Kedah diterajui pakatan pembangkang.

"Kita sentiasa memastikan GLC tidak akan menemui kegagalan. Sungguhpun demikian, kita masih dapati GLC yang gagal dan mengalami kerugian," katanya.

Dalam soal pelaburan dari dalam dan luar negeri, Menteri Besar berkata kerajaan negeri mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan kerugian dan kegagalan yang pernah berlaku sebelum ini.

Azizan juga berkata kerajaan negeri telah mengkaji agenda dan program anjurannya selama ini dan mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian.

- Bernama

ADS