Harakahdaily selar laporan 'lagakan Hadi-Pakatan'

Lidah parti PAS Harakahdaily menyelar laporan media berhubung satu kenyataan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-58 pada Ahad lalu.

Laman itu menyebut akhbar milik MCA The Star sengaja "mahu melaga-lagakan presiden PAS dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain" dengan laporan yang mendakwa Hadi sedia menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan berjaya menguasai Putrajaya.

Turut menjadi sasaran Harakahdaily ialah laman The Malaysian Insider yang didakwa "turut membayangkan seolah-olah Presiden PAS itu mahu menjadi perdana menteri."

"Ekoran kedua-dua laporan itu, timbul fitnah kepada presiden (Hadi) bahawa beliau dikatakan 'setuju dan bersedia' untuk menjadi perdana menteri," laporan Harakahdaily dipetik.

Laporan media berkenaan antara lainnya menyebabkan pemimpin DAP membuat kenyataan yang bertegas menyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya.

Isu yang dilaporan The Star dan The Malaysian Insider itu turut menjadi sasaran seteru Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyarankan dengan sinis supaya jawatan perdana itu sebaliknya diberikan kepada pengerusi nasional DAP Karpal Singh.

Harakahdaily seterusnya membandingkan dua laporan tersebut dengan laporan yang disiarkan Malaysiakini bertajuk "Syor jadi PM, syok juga sepintas lalu - kata Hadi".

Laporan Malaysiakini itu antara lain memetik kenyataan Hadi bahawa beliau memohon agar Tuhan memenuhi cita-citanya supaya "memenangkan Islam" sebelum beliau meninggal dunia.

"Syok (seronok) juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita menangkan Islam, lepas tu nak mati, matilah," kata Hadi seperti dipetik Malaysiakini dalam laporan itu.

Menurut Harakahdaily, ucapan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa Hadi menolak cadangan yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dalam Muktamar PAS ke-58 itu.

Laman berkenaan seterusnya menyiarkan semula petikan ucapan penangguhan Hadi berhubung isu berkenaan:

"Kita kena hadapi pilihan raya dengan yakin, ikhlas dan ilmu dan bijak.

"Saya alu-alukan nak lantik saya jadi perdana menteri. Syok juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita saya ini biar menangkan Islam, kemudian kalau nak mati, matilah.

"Saya tak mahu macam cerita saya dengan Ustaz Azizan. Ustaz Azizan tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut Yan.

"Sebelum pergi, dia berpaling ke anak buah dia, dia kata, tumbuk rempah siap-siap. Nak masak ikan tenggiri, ikan jenahak. Saya pun pergilah, dia pun pergi juga ke laut. Bila balik, boleh ikan belukang sebesar kelinking je. Ustaz Azizan ingat tak peristiwa itu? Saya tak mahu jadi macam tu lah. Belum apa-apa dah tumbuk rempah.

"Kita kena belajar dengan Nabi SAW. Bila Nabi nak berhijrah ke Madinah, Nabi berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kabilah yang bersedia menawarkan negeri dan penduduk mereka untuk menegakkan Islam. Allah menjanjikan kemenangan.

"Nabi jumpa satu-satu kabilah ini. Masa jumpa kabilah Bani Amir, Nabi tawar Islam, Allah janjikan kemenangan, boleh tegakkan negara bila berjaya. Tiba-tiba pemimpin mereka bertanya, 'Kalau menang siapa jadi raja, jadi ketua, jadi menteri?' Lalu Nabi jawab, 'Kemenangan itu bagi Allah, Allah beri  kepada siapa yang Dia kehendaki.' Itu jawapan Nabi.

"Jadi kita PAS ni kena ajar begitulah. Itulah caranya."

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.