Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Semoga berjumpa lagi di bumi M'sia tanpa Lynas!'

Saya tiba di Kampung Awah, Maran pada waktu senja 16 November, setelah tiga jam memandu kereta. Penghuni kampung yang berdekatan menuding ke arah masjid, sambil berkata di situlah tempatnya peserta jalan kaki "Stop Lynas" berteduh.

Berteduh di masjid? Mungkinkah? Rupa-rupanya pendeta Buddha dan kawannya benar-benar berteduh di situ untuk  semalaman, tetapi di bilik tadika yang bersebelahan dengan masjid.

Sememangnya gerakan Stop Lynas tidak  berkenaan dengan politik dan tiada kaitan dengan agama. Saya nampak mereka sedang berehat di tepi jalan ketika saya sampai di situ, sementara sesetengahnya pergi mandi. Saya pergi mencari Wong Tack.

Sedikit "hangus" Wong Tack dijemur keterikan matahari. Kakinya yang sedang berdiri tidak bergetar. Beliau menuju ke arah saya untuk berjabat tangan. Saya memaklumkan bahawa saya membawa sedikit barangan untuk mereka, dan harap mereka tidak mengambil hati.

"Tidak, tidak," lantas beliau membalas. Maka mereka membantu untuk memunggah barangan dari kereta saya, antaranya ubat, plaster, dan minuman herba.

Mereka bersorak, mengagihkan minuman herba kepada yang lain dan minum di situ juga. Kulit hitam pada wajah mereka akhirnya mengukir senyuman yang puas.

Adegan terharu di mana-mana

Wong Tack tergelak. Mnurut beliau, mustahil perjalanan ini dihabiskan hanya dengan berjalan kaki. Tekad adalah motivasi yang menyuntik semangat agar kita menghabiskan perjalanan. Adakalanya kami keletihan, tetapi kekuatan kembali semula apabila kereta yang melalui membunyikan hon-nya sebagai tanda sokongan.

Tadi, seorang pakcik berjalan sehingga kasutnya koyak. Kebetulan seorang anak muda memandu melalui di situ. Anak muda itu telah menanggalkan kasutnya yang berjenama itu dan terus dihadiahkan kepada pakcik.

Adegan yang membuat kita terharu ini disaksikan di mana-mana. Apabila kami kepenatan, kami pun mendampingi pendeta Buddha. Ringan saja cara beliau berjalan.

"Ni Kungfu ni," katanya dengan nada berseloroh.

Polis bertanya kepada saya, apa pertubuhan kamu? Tiada pertubuhan. Hanya sekumpulan orang kampung, dan antaranya dalam usia yang lanjut. Siapa Chairman (pengerusi)? Tiada Chairman, kan ini bukan pertubuhan? Mereka kata saya, jadi sayalah. Muka Wong Tack yang hitam dijemur itu tergelak lagi, dengan gigi yang putih.

Saya agak pasrah, ramai yang tidak tahu usaha ini. Lebih ramai lagi yang menganggap usaha ini sia-sia sahaja. Kau orang ni semua gila. Dengan serius dan tegas Wong Tack menjawab, semestinya mereka (kerajaan) akan memberi lampu hijau untuk Lynas agar memulakan operasi.

Cuma, kita berkata sekarang, tidak boleh! Malaysia bukan negara yang miskin sangat. Negara kita dilimpahi sumber alam semulajadi yang lumayan, tiada yang kebuluran.

Apa perlunya kita menjadikan negara ini tong sampah kepada racun yang mengancam alam sekitar? Kerajaan dipilih rakyat. Kembalikanlah kuasa kepada rakyat. Kita memiliki hak untuk bersuara!

Tiada yang bersungut keletihan

Kami berehat di bilik darjah yang bersebelahan dengan masjid. Masing-masing membaringkan kakinya yang sudah "kilat" digosok sepanjang perjalanan.

Saya mengurut untuk mereka, sambil berjenaka. Anak perempuan berehat di sebelah saya. Mereka akan mengerang ketika diurut. Kami mandi bergilir-gilir, kemudian tidur di lantai.

Tiada televisyen, tiada penghawa dingin. Kami makan malam dalam cahaya yang malap. Nasi tidak cukup. Wong Tack membeli sedikit roti dan makan, agar orang lain boleh memakan nasi itu.

Saya memeluk Aunty Mei. Nenek yang berusia 70 tahun ini bersama saya ketika perhimpunan BERSIH 3.0, ditangkap polis atas tuduhan merusuh. (Warga asing tertanya-tanya bagaimana seorang nenek tua yang berusia 70 tahun boleh 'merusuh'?)

Saya pesan pada Aunty Mei supaya berehat, dan saya telah membawakannya ubat pelekat yang sangat mujarab. Lantas beliau membalas, "Tak boleh, kita tak boleh rehat. Selagi kilang tu tak ditutup, takkanlah nyenyak tidur ku? Jalan! Teruskan perjalanan kita!" Aunty Mei memeluk saya dengan erat.

Nenek berbadan kurus ini tiba-tiba menjadi gergasi dalam hidup saya. Beliau bukan lagi seorang ibu atau nenek. Sayapnya yang melebar memberi perlindungan bukan lagi hanya satu keluarganya.

Orang-orang hijau ini menjadi tentera yang tercedera. Lelaki, perempuan, yang muda dan yang tua, yang gemuk yang kurus - dengan kulit yang "hangus" dijemur.

Saya bersama mereka untuk kira-kira dua jam. Tiada sepatah ayat rungutan sama ada letih mahupun menganggap dirinya bodoh - dari bibir yang kekeringan, termasuk seorang budak perempuan kecil. Tak pernah saya dengar rungutannya.

Sebelum berpisah, saya melambai-lambai tangan kepada mereka. Saya menahan sebak, dan cuba menenggelamkan kesebakan dalam hati saya dengan jeritan, "Jumpa lagi pada 20 haribulan. Kita berjumpa di parlimen!"

Sorakan dan tepukan yang gemuruh menenggelamkan saya. Dengan tangkas saya masuk ke dalam kereta, dan mengurung diri saya dengan lenangan air mata, di dalam kereta.

Ya, kita pasti akan berjumpa lagi di bumi Malaysia tanpa Lynas!


Diterjemah dari artikel asal (http://www.malaysiakini.com/news/214512) dalam bahasa Cina.

                

ADS