Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keuntungan sebelum cukai AirAsia Bhd bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2012, naik lebih daripada berganda kepada RM259.1 juta daripada RM108.49 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas hasil daripada pertumbuhan dalam kuantiti penumpang dan kapasiti.

    

Pendapatan meningkat 14 peratus kepada RM1.23 bilion daripada RM1.08 bilion apabila kuantiti penumpang naik sembilan peratus kepada 4.75 juta dan kapasiti berkembang kerana bilangan pesawat yang beroperasi di Malaysia bertambah kepada 59.

    

"Meskipun peningkatan kapasiti 10 peratus, permintaan dari segi faktor muatan tempat duduk kekal kukuh pada 77 peratus bagi suku tersebut," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar dalam satu kenyataan semalam.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan sebelum cukai syarikat penerbangan tambang rendah itu meningkat tiga kali ganda kepada RM1.69 bilion daripada RM456.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

    

Pendapatan bagi tempoh itu naik kepada RM3.58 bilion daripada RM3.21 bilion sebelumnya.

    

Aireen berkata paras tunai syarikat kekal kukuh dengan tunai dan baki bank sebanyak RM2.2 bilion dan gearan bersih dikurangkan lagi kepada 1.03 kali dalam suku semasa daripada 1.10 kali pada suku sebelumnya.

    

Bagi perkembangan serantau, syarikat sekutu AirAsia, Thai AirAsia dan Indonesia AirAsia juga mencatatkan pertumbuhan pendapatan dua angka hasil daripada kuantiti penumpang yang tinggi.

    

Mengenai prospek masa depan, Aireen yakin AirAsia akan terus mempamerkan prestasi kukuh dari segi operasi dan keputusan kewangan dalam suku keempat.

"Suku keempat kebiasaannya merupakan suku paling kukuh kami. Kami akan terus melancarkan lebih banyak laluan dan menambah kekerapan untuk menyediakan kepada permintaan tinggi," katanya.

    

Beliau berkata AirAsia akan menerima enam lagi pesawat pada akhir tahun daripada pengeluar pesawat Eropah, Airbus, yang akan diagihkan di kalangan lima entiti -- Air Asia, AirAsia Thai, AirAsia Indonesia, Philippines' AirAsia and AirAsia Japan -- untuk menyokong pertumbuhannya.

    

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Dr Tony Fernandes berkata syarikat itu akan terus menumpukan kepada tiga pasaran teras -- Malaysia, Thailand dan Indonesia -- dalam tempoh terdekat ini dan percaya terdapat potensi pertumbuhan bagi Philippines' AirAsia and AirAsia Japan.

    

Bagi menampung peningkatan permintaan, beliau berkata AirAsia dijangka menerima 266 pesawat baharu sehingga 2026, menambah kepada 112 pesawat sedia ada.

- Bernama

ADS