Saham Lynas naik selepas nadir bumi tiba di Kuantan

dikemaskini 3.30pm Harga saham Lynas Corporation melonjak selepas syarikat itu menyatakan yang konsentrat bumi nadir telahpun tiba untuk pemprosesan di kilangnya di Gebeng, Kuantan.
    
Syarikat itu berkata yang 100 kontena konsentrat bumi nadir kini telahpun tiba di Kuantan dan sejumlah besar telahpun berada di kilangnya.

"Lynas menjangkakan yang peleburan pertama dan pelaksanaan operasi di Kilang Material Canggih Lynas (LAMP) akan bermula dalam beberapa hari ini," kata syarikat dalam satu kenyataan.
    
Lynas berkata tiada apa yang akan menghalangnya daripada memulakan operasi di kilang meskipun minggu lepas ia telah memaklumkan mengenai pusingan kedua tindakan undang-undangnya ke atasnya.
    
Kumpulan "Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas" minggu lepas telahpun membuat permohonan kedua di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menghentikan syarikat daripada mendapat lesen operasi sementara untuk kilang itu.

Lynas berkata permohonan itu rupanya merupakan ulangan kepada permohonan yang telah ditolak awal bulan ini.

"Prosiding perundangan baru-baru ini yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuantan tidak menjejaskan penyediaan operasi yang sedang dilakukan di LAMP," kata Lynas minggu lepas.
    
Kumpulan "Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas" bimbang kilang Lynas akan membebaskan pencemaran radioaktif yang akan mengancam kesihatan manusia dan persekitaran.
    
Saham Lynas meningkat A5.5 sen atau 8.73 peratus kepada A68.5 sen.

- Bernama

1. Bijih nadir bumi tiba di Kuantan, dikawal ketat polis

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.