Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib presiden PAS Salahuddin Ayub menggesa Kementerian Pengajian Tinggi menyiasat penamatan kontrak seramai 92 pensyarah yang terdiri daripada bekas pegawai tentera dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Salahuddin berkata kementerian itu perlu menyiasat memandangkan penamatan kontrak itu dibuat kerana kakitangan berkenaan didakwa hanya berkelulusan diploma lanjutan.

"Saya berharap satu panel khas ditubuh bawah KPT untuk menyiasat pemberhentian begitu ramai walaupun atas nama penamatan kontrak.

"Kalau betul kerana kelayakan, kenapa mereka diambil bekerja dengan UPNM sebelum ini?," soalnya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mendakwa penamatan kontrak itu dijalankan susulan rombakan besar-besaran yang berlaku di kampus itu pada November lalu.

Dakwanya lagi, rombakan itu berlaku selepas pelantikan timbalan naib canselor (akademik dan pengantarabangsaan) yang baru, Rugayah Mohamed.

Tambahnya lagi, beliau memperjuangkan isu pensyarah berkenaan memandangkan UPNM memerlukan tenaga pengajar yang bukan hanya memiliki keluluskan akademik.

"Saya perjuangkan (pensyarah) kerana mereka perlu faham universiti pertahanan tidak sama dengan universiti lain.

"Objektifnya untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang keselamatan dan pertahanan, justeru mereka perlu tenaga pengajar yang berpengalaman dan bukan sahaja ada kelayakan akademik," kata Salahuddin.

Maklumat di laman web rasmi UPNM menyebut, universiti itu bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada Jun 1995 untuk menjalankan program peringkat Sarjana Muda dan latihan ketenteraan kepada pegawai kader Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peranan akademi tersebut kemudian diperluaskan dan pewartaan UPNM dibuat pada November 2006 dengan fokus untuk mengeluarkan graduan tentera dan awam bagi keperluan pertahanan negara.

ADS