Sabotaj Umno: Dua dipecat, seorang digantung

Lembaga Disiplin Umno hari ini mengumumkan pemecatan dua ahli dan penggantungan selama tiga tahun seorang lagi ahli, ketiga-tiganya dari Umno Bahagian Semporna, Sabah, kerana kesalahan sabotaj parti.
    
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata yang dipecat ialah Haji Ab. Habi Haji Mustapha dan Abdul Majid Haji Palah manakala yang digantung keahliannya selama tiga tahun mulai 6 September 2012 atau satu Penggal Pemilihan ialah Haji Nisfu Haji Palah.
    
Mereka didapati bersalah melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno, katanya dalam satu kenyataan di ibunegara hari ini.
    
Empat ahli Umno yang lain dari Bahagian Arau, Padang Besar dan Kangar, Perlis juga didapati bersalah dan diberi amaran kerana kesalahan tidak mengikut perintah-perintah parti dan juga tidak menjalankan dasar-dasar parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno.
    
Mereka ialah Syed Atif Syed Abu Bakar (Arau), Yaacob Man (Padang Besar), Biswardi Mohamad Hasbi (Kangar) dan Abdul Halim Abdullah Sunny (Arau).
    
Katanya Lembaga Disiplin bagaimanapun mendapati Datuk Zahidi Zainul Abidin dari Bahagian Padang Besar, Perlis tidak bersalah.
    
Tengku Ahmad Rithauddeen berkata keputusan itu diambil oleh Lembaga Disiplin yang bersidang pada 6 September dan 8 Oktober lalu.
    
"Keputusan ini adalah selari dengan transformasi politik oleh kepimpinan parti di mana Lembaga Disiplin tidak akan berkompromi kepada sebarang anasir untuk merosakkan perjuangan parti untuk kepentingan rakyat termasuk pelanggaran
disiplin yang telah, sedang dan akan diambil tindakan tegas,” katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.