Zahid Hamidi: Umno perlu sedia hadapi p'raya 'luar biasa'

Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli Umno perlu bersedia untuk menangani pilihan raya umum akan datang yang disifatkannya sebagai pilihan raya "luar biasa".

"Kita tidak seharusnya melakukannya secara selesa seperti pilihan raya lalu.

"(Ahli Umno) seharusnya menggandakan usaha mendekati rakyat dan tidak dilakukan secara sambil lewa," katanya.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai persiapan Umno menjelang perhimpunan agung parti itu yang akan berlangsung minggu depan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan penasihat pertahanan kepada perdana menteri United Kingdom Sir Nigel Kim Darroch di bangunan parlimen hari ini.

Zahid berkata, Nigel dalam perbincangan tersebut mempersetujui pandangan Malaysia bahawa serangan Israel ke atas warga Palestin di Gaza dilakukan secara berlebihan.

"Beliau bersetuju dengan pendapat saya bahawa apa yang dilakukan Israel melebihi daripada apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka.

"Kami juga bersetuju Mesir menjadi orang tengah untuk mewujudkan gencatan senjata antara Hamas dan Israel," katanya.

Kempen "Tonggak Pertahanan" Israel itu kini dilaporkan menelan korban kira-kira 160 orang penduduk Gaza.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.