DUN S'gor tegang seketika di akhir penggulungan bajet

DUN SELANGOR Sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini tegang seketika selepas Anggota Dewan Undangan Negeri Taman Templer Datuk Subahan Kamal membidas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa beliau menggulung perbahasan ucapan Bajet 2013.
    
Subahan berkata beliau tidak memahami dan bingung dengan penerangan Abdul Khalid mengenai belanjawan itu.  

"Saya makin lama makin bingung kerana saya tidak faham apa Menteri Besar dok cakap. Ini kursus kira-kira, accounting... ini kursus di UiTM atau nak bentangkan bajet?.
    
"Tapi bila menjawab tu, biarlah menjawab terus kepada persoalan yang dibangkitkan bukan pusing satu dunia sampai ke Afrika sampai ke Amerika," katanya menyebabkan Speaker Datuk Teng Chang Khim meminta Subahan menarik balik perkataan bingung kerana ia bersangka jahat.

Subahan menjawab beliau tiada masalah untuk menarik balik perkataan itu dan menyatakan bahawa Menteri Besar faham maksud beliau.

Bagaimanapun, Teng berkata dengan menjawab boleh tarik balik tidak memberi erti jika Subahan tidak melakukannya.
    
"Saya tarik balik," kata Subahan dan Teng berkata: "Tarik balik apa?"
    
"Bingung tak salah, bingung bukan sangkaan jahat," jelas Subahan.
    
Keadaan itu membuatkan anggota-anggota pembangkang dari Barisan Nasional seperti Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) naik marah dan bangun memprotes tindakan Teng itu.
    
Keadaan turut menjadi hingar bingar menyebabkan pembesar suara di tempat duduk pembangkang ditutup.
    
Teng turut mengarahkan Amiruddin supaya duduk tetapi beliau enggan menyebabkannya diarah keluar selama sejam dari sidang dewan mulai 5.10 petang.

Keadaan menjadi tenang selepas Teng meminta pihak pembangkang bersabar untuk membolehkan Abdul Khalid menggulung perbahasan.  

Terdahulu, Abdul Khalid berkata cara perbelanjaan dibuat pada masa ini berbeza dari dulu kerana kecanggihan dan kepantasan teknologi maklumat.

"Kalau dahulu maklumat agak lambat diperoleh, tetapi kini maklumat seperti prestasi kutipan hasil dapat diperolehi dalam tempoh tiga bulan dan ini memudahkan perbelanjaan dapat diselaraskan dengan peningkatan pendapatan.

"Itu adalah antara sebab mengapa pada tahun lepas, setiap kali sidang dewan diadakan peruntukan tambahan dimohon oleh kerajaan negeri," katanya.
    
Beliau berkata demikian sebagai menjawab perbahasan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Muhamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) yang sangsi Bajet 2013 kerajaan negeri berjumlah RM1.63 bilion akan kekal kerana kemungkinan ada permohonan peruntukan tambahan seperti tahun-tahun sebelumnya.  
    
Sidang dewan disambung esok.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.