Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Perbezaan politik tidak sepatutnya pecahbelah rakyat
Diterbitkan:  Nov 23, 2012 9:57 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata perbezaan fahaman politik di kalangan wakil rakyat tidak sepatutnya menjadi sebab untuk memecahbelahkan rakyat.

    

Beliau berkata apabila seseorang itu menjadi wakil rakyat tugasnya ialah untuk menjaga rakyat dan bukannya untuk rakyat bergaduh.

"Janganlah timbul masalah. Biarlah politik dengan politik, parti dengan parti tetapi hubungan kemasyarakatan tetap baik. Ini harapan saya. Bagi saya, saya boleh duduk dengan sesiapa," katanya.

    

Beliau berkata demikian di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah ketika merasmikan Mesyuarat Belanjawan Negeri 2012.

    

Azizan berkata beliau merasa sedikit dukacita apabila berlaku sedikit salah faham ketika sesi pagi tadi menyebabkan Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang exco.

    

Sesi penggulungan pada persidangan DUN sebelah pagi kecoh apabila Datuk Abu Hassan Sharif (BN-Kota Siputeh) diarah keluar kerana enggan mematuhi arahan Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Ini berlaku setelah Abu Hassan enggan berdiam diri walaupun diarah berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia negeri Lim Soo Nee (PKR-Kulim) yang tidak memberi peluang untuknya bercakap.

    

Lim dalam penggulungannya membangkitkan isu anak lelaki Abu Hassan yang didakwa menjawat jawatan gred N41 sebagai tidak wajar kerana jawatan itu tidak pernah wujud dalam Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

    

Sementara itu, Azizan menafikan terdapat sebuah syarikat dari Turki mahu membeli ekuiti sebanyak 90 peratus dalam Kolej Universiti Insaniah (Kuin), yang merupakan milik kerajaan negeri.

    

"Syarikat Turki itu, CEO (Ketua Pegawai Eksekutifnya) orang Malaysia. Apa yang berlaku dia beri RM1 juta kepada Kuin untuk buat masjid," katanya.

Mengenai cadangan mewujudkan ladang buah-buahan di Genting Bunga berhampiran Tasik Pedu yang merupakan kawasan tadahan air dan hutan simpan kekal, Azizan berkata pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Perhutanan untuk menggantikannya dengan hutan lain.

    

"Kalau tak tebang tak boleh tolong lebih ramai rakyat. Ia tak ganggu kawasan itu cuma ada masalah teknikal sikit," katanya.

    

Beliau bagaimanapun cuba berdolak-dalik apabila ditanya oleh Datuk Mohd Tajudin Abdullah (BN-Belantek) dan Dr Leong Yong Kong (BN-Gurun) sama ada projek itu mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

    

Persidangan dewan ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

- Bernama

ADS