Pinda Seksyen 376, penjara mandatori rogol gadis bawah umur

Individu yang disabitkan kesalahan merogol gadis di bawah umur akan dijatuhi hukuman penjara mandatori selepas Seksyen 376 Kanun Keseksaan dipinda tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata pindaan itu dicadangkan supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis di bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Katanya pindaan seksyen berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

"Saya telah minta kepada Peguam Negara dan dengan persetujuan beliau dan nasihatnya kita nak pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan kepada pesalah melainkan mesti mengenakan hukuman yang ada iaitu penjara tidak lebih 30 tahun bagi kes hubungan jenis dengan wanita di bawah umur 16 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program "Kepimpinan Berkesan" anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Padang Rengas hari ini.

Pindaan itu dicadangkan supaya hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberikan mahkamah kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Mohamed Nazri berkata pindaan itu perlu bagi melindungi gadis bawah umur daripada terdedah kepada jenayah rogol.

Beliau berkata sebanyak 6,000 kes hubungan jenis melibatkan wanita di bawah umur direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2007.

Katanya beliau juga menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Seri Zakaria Sam baru-baru ini yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setengah terhadap seorang juruteknik yang sebelum ini dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen kerana
kesalahan merogol gadis bawah umur.

Zakaria menetapkan hukuman itu selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun dengan ikat jamin RM25,000 pada Ogos lepas.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.