Najib: Umno perlu tunjuk PAS selindung di balik Islam

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata anggota Umno seharusnya mendedahkan semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 bahawa PAS adalah sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam.

Perdana Menteri berkata sekiranya Umno dapat mengemukakan hujah-hujah bernas tentang jati diri PAS yang sebenarnya kepada rakyat, beliau yakin Umno akan muncul sebagai parti yang utama dalam kalangan orang Melayu.

"PAS perlu menggambarkan parti itu sebagai sebuah parti Islam. Tapi sama ada perbuatan itu (doa menghancurkan Umno dan BN, BN) adalah benar-benar menepati prinsip dan syariat Islam atau sebaliknya ia merupakan sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam. Itu yang harus dibincang oleh parti Umno.

"Kalau kita dapat mengetengahkan hujah-hujah yang bernas, maka kita boleh muncul sebagai parti yang utama di kalangan orang Melayu," katanya dalam temubual eksklusif bersama para pengarang Bernama dan Utusan sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di pejabatnya di Parlimen baru-baru ini.

Beliau mengulas tindakan PAS mendoakan kehancuran Umno dan BN pada Muktamar PAS 2012 yang berlangsung baru-baru ini, dan bagaimana beliau mahu anggota Umno memberi reaksi kepada perkara itu.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata pelbagai pendapat yang\ tidak sekata dalam kalangan parti Pakatan Rakyat membuatkan rakyat masih kabur dengan bentuk dasar yang bakal diamalkan dan hala tuju mereka jika ditakdirkan memerintah nanti.

Katanya parti mana yang akan menjadi lebih dominan juga tidak dapat ditentukan, namun memberi jaminan BN dan Umno akan meneruskan dasar serta hala tuju yang telah dibentangkan kepada rakyat.

"Dalam pakatan itu ada parti yang nak asas perlembagaan kita dipinda. Sebab DAP dengan ideologi Malaysian Malaysia yang tidak menerima prinsip dan semangat Perlembagaan. Dan kita ada PAS yang nak wujudkan negara Islam ikut tafsiran mereka. Itu pun jadi tanda tanya kerana definisi negara Islam itu pun masih kabur lagi.

"Ketiga, ada PKR yang memperjuangkan pendirian yang boleh disangsi termasuk kefahaman yang terlalu liberal dan pluralisme yang juga boleh menimbulkan banyak kontroversi.

"Dalam BN, kita boleh jamin dasar kita konsisten. Apa pun akan berlaku, kita ada jaminan bahawa hala tuju dan dasar yang telah dibentang kepada rakyat dapat kita teruskan. Tapi, pembangkang penuh risiko, tanda tanya dan kesangsian. Sama ada kita sanggup memperjudikan masa depan kita, itu menjadi soal pokok," tegasnya.

Dalam wawancara selama sejam itu, Najib turut menyentuh tindakan ketua pembangkang yang cuba merayu campur tangan pihak luar dalam pilihan raya negara ini, dan berkata ia seolah-olah menafikan amalan demokrasi yang selama ini berjalan dengan baik.

Ditanya sama ada langkah itu dilakukan kerana pembangkang yakin mereka tidak mampu memenangi PRU-13, beliau berkata atas sebab itulah pembangkang cuba menyediakan minda rakyat bahawa proses pilihan raya negara itu tidak telus.

"Ada juga orang kata bahawa kalau dia tak menang, dia nak tunjuk perasaan juga. Nak tunjuk pilihan raya kita tak telus dan tak adil. Segala-galanya boleh berlaku sebab mereka sangat obses, mabuk nak menguasai Putrajaya. Australia pun dah tolak (permintaan Anwar untuk memantau dan memerhati PRU-13)," katanya.

Mengulas kritikan sesetengah pihak bahawa BN dan Umno tidak cukup agresif dalam menghadapi ibu segala pilihan raya terutama dalam melawan segala dakyah dan tohmahan pembangkang, Najib berkata selaku kerajaan yang memerintah, perlu ada batasan dan sifat tanggungjawab dalam setiap tindakan yang diambil.

"Pembangkang lain, dia tak ada sempadan termasuk nak lempar fitnah, beri fakta palsu dan sebagainya. Pembangkang boleh buat. Tapi kita dalam kerajaan kena ada rasa tanggungjawab dalam apa-apa yang kita nak lakukan. Itu mungkin menggambarkan seolah-olah kita tak agresif," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.