Najib minta Umno teladani perang Badar, Uhud

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata patuh kepada disiplin organisasi merupakan antara penentu kemenangan Umno dan BN walaupun parti itu kini bertambah kukuh dan mantap untuk berdepan pilihan raya umum yang akan datang.

NONENajib, yang juga Presiden Umno berkata walaupun mempunyai bilangan anggota yang ramai, Umno, sebagai parti tunjang Melayu bakal tewas jika anggotanya tidak memiliki disiplin organisasi yang mantap.

Beliau berkata melalui disiplin organisasi yang mantap, Umno dengan keanggotaannya yang melebihi tiga juta mampu turun 'berperang' secara tersusun dalam satu ikatan kepimpinan yang utuh bersama kekuatan yang sedia dimiliki.

Menjadikan peristiwa perang Badar dan Uhud sebagai contoh, beliau berkata kemenangan dan kekalahan umat Islam dalam peperangan itu perlu dijadikan iktibar oleh pendukung parti bahawa disiplin organisasi yang meliputi arahan, pematuhan arahan dan melaksanakan arahan perlu diikuti, dipatuhi dan dilaksanakan bagi memastikan kejayaan dalam setiap pertarungan.

"Untuk menjamin kemenangan yang memuaskan, pertama, mesti ada disiplin organisasi, contohnya, kalau hendak pergi berperang, bala tentera kita mestilah tersusun dalam satu ikatan kepimpinan 'chain of command' yang mantap dan berdisiplin.

"Kalau kita ada 'organisational discipline', saya percaya itu akan memberi kekuatan yang amat besar sebab kita sudah ada bilangan tetapi kita mesti sulaminya dengan kekuatan disiplin organisasi, itu perkara penting yang saya hendak tekankan," katanya mengenai apa yang perlu anggota Umno lakukan untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah di mana kekuatan iman dan keyakinan kepada Allah telah membawa kemenangan besar, seterusnya membawa kepada perkembangan agama Islam di Makkah.

Ketika perang Uhud pula, tentera Islam yang menentang tentera kafir yang terdiri daripada 3,000 orang hampir menang sebelum tentera Islam yang diberi amanah menjaga Bukit Uhud bertindak turun bagi mendapatkan harta rampasan perang setelah musuh melarikan diri.

Akibat tiada disiplin dan mengingkari arahan ketua, tentera musuh yang mendapati tempat pertahanan yang strategik itu kosong, telah berpatah balik, menguasai kawasan bukit itu, seterusnya menyerang tentera Islam dari belakang.

Bercakap kepada Bernama dan Utusan Malaysia dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini sempena Perhimpunan Agung Umno ke-63 yang akan berlangsung dari 28 Nov hingga 1 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Najib berkata menerima keputusan parti termasuk dalam soal pemilihan calon pilihan raya juga merupakan perkara yang terangkum dalam organisasi disiplin.

Beliau berkata selain sejarah perang Badar dan Uhud, anggota Umno juga digesa menjadikan pengalaman pahit kekalahan parti itu dalam beberapa siri pilihan raya kecil di kawasan yang boleh dimenangi sebelum ini sebagai pengajaran, kesan dan akibat daripada melanggar disiplin organisasi.

Najib berkata sejak menerajui Umno pada April 2009, banyak perubahan telah dilakukannya termasuk dalam aspek mendisiplinkan anggotanya sehingga mendorong perwakilan berikrar untuk tidak melanggar arahan pucuk pimpinan pada perhimpunan agung parti itu tahun lepas.

"Mereka dah beri ikrar dan pengakuan, malah Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) pun bantu jumpa mereka, sudah angkat tangan sumpah pengakuan, dalam perhimpunan agung pun dah berikrar.

"Saya tak upaya lebih dari itu, saya dah buat apa yang boleh saya buat, jadi terserah kepada tubuh badan sendiri. Kalau mereka tak langgar sumpah...saya tak tahulah, itu terserah kepada mereka, itu antara mereka dan tuhan," katanya.

Ditanya apakah penubuhan Jawatankuasa Disiplin mampu membantu mengatasi masalah disiplin seperti mensabotaj calon BN, Presiden Umno itu berkata disiplin diri yang dimiliki setiap anggota adalah lebih bermakna dan penting kepada parti berbanding tindakan mendisiplinkan mereka.

Mengambil Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dilaksanakan di sesetengah tempat sebagai contoh, Najib berkata perkara itu sebenarnya tidak perlu sekiranya pemandu berdisiplin namun ia terpaksa dibuat bagi tujuan mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin di jalan raya.

"Jadi, kalau disiplin, kita dapat selamatkan nyawa dan diri kita, maknanya kalau kita ada 'self-discipline' parti kita pasti akan berjaya, itulah yang patut kita utamakan kerana kalau kita menang kerusi kita tapi gagal bentuk kerajaan, tiada lah maknanya," katanya.

Beliau berkata tindakan mengumumkan calon pilihan raya lebih awal merupakan antara pilihan yang boleh diambil bagi mengelak tindakan mensabotaj parti daripada berlaku, namun sehingga kini belum ada kata putus mengenainya yang dibuat.

"Kalau kita umum awal pun tiada jaminan tidak akan berlaku sabotaj tapi jika terlalu lewat pula sukar untuk kita memulihkan keadaan... jadi saya rasa ia tidak boleh terlalu awal dan terlalu lewat. Kita akan cari masa yang mungkin kita rasakan paling sesuai," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.