Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sepasang pengantin baru mencipta kelainan dalam meraikan detik manis perkahwinan mereka apabila memilih bersanding di dalam bas RapidKL.

Kedua mempelai bersanding sejurus menaiki bas itu di Plaza Tol Damansara dengan disaksikan anggota keluarga pengantin lelaki.

Johari Roslee, 26, menaiki bas di Depoh RapidKL Sentul sebelum menjemput isterinya, Norsahida Saharuddin, 25, di Plaza Tol Kota Damansara pada kira-kira 11.30 pagi, dengan diiringi rombongan keluarga yang menaiki dua kereta.

Turut mengiringi rombongan itu ialah Kumpulan Vespa dan Motor Antik Kota Damansara, yang kemudian tiba di Dewan Komoditi Seksyen 7, Kota Damansara, tempat majlis perkahwinan pihak perempuan berlangsung, pada kira-kira 12.30 tengah hari.

Norsahida, pegawai perkhidmatan pelanggan di bahagian Tiket Produk RapidKL, berkata bersanding di dalam pengangkutan awam itu dibuat kerana mereka mahukan kelainan.

Johari, dari Sungai Petani, Kedah, yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata mereka berkenalan sejak lima tahun lepas menerusi laman sosial 'Myspace'.

Pasangan itu dirai oleh kira-kira 2,000 tetamu dan majlis mereka turut ditaja Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) serta Ronas Niaga Enterprise Sdn Bhd (Ronas).

- Bernama

ADS