Himpunan Hijau: Pilih k'jaan yang dengar tuntutan

Pemimpin perarakan jalan kaki sejauh 300km ke Kuala Lumpur bagi membantah operasi loji Lynas, Wong Tack, hari ini menyeru para penyokongnya supaya memilih kerajaan yang mendengar tuntutan mereka.

Berucap dalam persidangan "mesyuarat rakyat" bersama wakil rakyat DAP dan PKR di lokasi perkhemahan mereka di pusat bandar Kuala Lumpur hari ini, Wong berkata menyeru supaya golongan itu "memilih kerajaan yang mendengar suara rakyat"

NONE"Kami memerlukan kerajaan yang bersih dan adil. Kerajaan yang mengambil berat dan mendengar suara rakyat. Kerajaan yang bersama-sama dengan rakyat," katanya sambil diiringi dengan laungan slogan "Hidup rakyat" dan "Rakyat bangkit" oleh peserta perhimpunan.

Turut hadir dalam persidangan tersebut ialah MP Ipoh Timur Lim Kit Siang, William Leong (Selayang), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Poh Kuan (Batu Gajah) dan Dr D Jeyakumar (Sungai Siput).

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan berkenaan, Wong berkata kerajaan sepatutnya mengutamakan dan melaksanakan polisi untuk keselamatan rakyat.

NONE"Dalam beberapa bulan lagi, kita mencari kerajaan yang mendengar suara rakyat. Itulah aspirasi rakyat.

"Kita faham sentimen rakyat... Kami mahu kerajaan yang bersih, menghormati hak asasi, mementingkan humanisme dan suara rakyat. Itu merupakan asas kepada rakyat," katanya.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya berkomunikasi dengan mereka berhubung isu Lynas dan alam sekitar memandangkan Himpunan Hijau telah menjalankan pelbagai usaha supaya suara mereka didengari.

"Kami sudah berjalan, membuat himpunan selepas perhimpunan, kerajaan sepatutnya melibatkan diri dengan kami.

"Kami berjalan lebih 300km, mahu berdialog tetapi mereka (wakil kerajaan) tidak hadir di sini," katanya.

NONEWong berkata, beliau akan pulang ke Kuantan bagi merangka strategi untuk memastikan kerajaan yang dipilih selepas pilihan raya umum mengambil berat suara dan tuntutan rakyat berhubung isu berkenaan.

Kumpulan berkenaan kemudiannya bersurai daripada menduduki kawasan jalan berhampiran Dataran Merdeka.

Susulan itu, pihak berkuasa membuka semula sekatan di hadapan Dataran Merdeka pada kira-kira jam 10.35 pagi untuk membolehkan laluan kenderaan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.