Menteri: Pindaan baru haram kenyataan seksis MP

Satu pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat akan dicadangkan untuk memperluaskan tegahan ke atas ahli Dewan agar tidak mengeluarkan kenyataan seksis.

NONEPerkara 36(4) dalam Peraturan Mesyuarat sebelum ini menyebut, larangan itu dikuatkasaha ke atas perbuatan mengeluarkan kenyataan biadap atau tidak sopan.

Cadangan pindaan baru ke atas fasal berkenaan kini menyatakan: "Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan seksis".

Menteri hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam sidang medianya berkata, beliau menulis surat kepada setiausaha Dewan untuk mengusulkan perkara itu esok.

"Saya juga menulis surat kepada Speaker hari memohon keizinan supaya (usul ini) dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat agar ia didahulukan dan saya percaya Speaker akan benarkan," katanya.

Katanya, usul itu dicadangkannnya bagi menjaga kehormatan wanita di Dewan ekoran "beberapa insiden tidak sihat" yang berlaku sebelum ini.

Ketika ditanya, Nazri juga bersetuju sekiranya pindaan itu digunapakai untuk mengambil tindakan terhadap MP wanita yang menghamburkan kata-kata seksis terhadap lelaki.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan peruntukan tersebut, Nazri berkata keputusan sama ada sesuatu kenyataan itu bersifat seksis atau tidak akan ditentukan Speaker Dewan.

Individu yang didapati melanggar peruntukan itu seterusnya akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, katanya lagi.

"Beliau (Speaker) ada kuasa mutlak untuk memutuskan perkataan itu seksis atau tidak," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tuntutan Hindraf semalam untuk mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Minoriti - satu usaha yang disfatkannya sebagai "tiada keperluan".

"Kita ada Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri untuk meneliti hal ehwal mereka. Itu lebih penting daripada satu kementerian," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.