Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung Mokhtar mahu Dewan larang ungkapan provokasi

Seorang MP BN berkata Parlimen seharusnya memberi tumpuan kepada ungkapan berbentuk provokasi yang didakwanya mencetus kenyataan "tidak sihat" dan bukan hanya melarang ucapan berbaur seksis.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) menyatakan kekesalannya kerana ucapan berbentuk provokasi tersebut tidak dimasukkan dalam usul pindaan Peraturan Mesyuarat 36 (4) yang dibentangkan hari ini.

bung mokhtar parliament 080708 03 "Saya lihat bahawa pindaan-pindaan ini cuma tambahan daripada perkataan 'biadap' kepada 'seksis'.

"Tidak pula dimasukkan ucapan-ucapan berupa provokasi.

"Mungkin disebabkan provokasi ini maka timbul suasana yang tidak senang di kalangan wakil rakyat dan ucapan provokasi ini banyak dilakukan wakil rakyat.

"Ekoran daripada provokasi itu timbullah ungkapan-ungkapan tidak sihat," kata Bung Mokhtar (foto kiri) ketika membahaskan usul yang dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Bung Mokhtar pada tahun 2007 menarik perhatian negara apabila akhirnya memohon maaf kepada golongan wanita kerana mengeluarkan perkataan "bocor" ke atas MP Batu Gajah, Fong Poh Kuan dalam satu perbahasan di Dewan Rakyat.

Pada Mac tahun lalu, beliau sekali lagi menjadi sasaran kritikan apabila menyalahkan pemandu wanita atas kemalangan jalan raya.

Turut membahaskan usul berkenaan ialah Siti Zailah Mohd Yussuf (PAS-Rantau Panjang) yang mencadangkan supaya Parlimen mengadakan kursus kepekaan jantina khusus kepada MP.

Seorang lagi MP pembangkang Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) kemudiannya bangun mencelah dan mencadangkan agar kursus berkenaan dikhususkan kepada MP BN.

  NONE "Apa pandangan (ahli Parlimen) Rantau Panjang samada wajar atau tidak ahli parlimen terutamanya ahli parlimen BN diberikan kursus dan disensitifkan supaya mereka tidak timbul lagi kenyataan seksis pada masa akan datang?", soal Fuziah.

Cadangannya Fuziah bagaimanapun dibantah Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) yang mendakwa, Fuziah juga mengeluarkan kenyataan seksis apabila mencadangkan demikian.

"Tuan Yang di-Pertua saya rasa itu kenyataan berat sebelah. Tarik balik kenyataan kursus untuk BN. Itu juga kenyataan seksis," tegas Nancy dalam suasana gamat di dalam Dewan.

Fuziah (foto kanan) kemudiannya bangun dan menjelaskan bahawa beliau mencadangkan demikian memandangkan banyak kenyataan seksis di dalam Dewan itu diungkapkan oleh MP BN.

Turut membahaskan usul berkenaan ialah Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang sangsi dengan keberkesanan pindaan tersebut.

"Saya tidak menaruh keyakinan perkara ini tak akan disebut.... (Apabila) tengok perilaku sesetengah pihak saya tak yakin perkara ini akan dipatuhi," katanya.

Dalam ucapan penggulungan selepas itu, Nazri menolak cadangan Bung Mokhtar agar parlimen turut meminda Peraturan Mesyuarat 36 (4) untuk merangkumi kenyataan bersifat provokasi.

"Saya ingat ini tak boleh diterima kerana provokasi itu biasalah. Itu orang kata rempah ratus perbahasan Parlimen," katanya.

Beliau bagaimana pun bersetuju dengan cadangan Siti Zailah agar kursus sensitiviti jantina diadakan untuk semua ahli parlimen.

"Parlimen mengambil perhatian atas cadangan yang berhormat. Ini kita boleh usulkan dan saya setuju semua ahli parlimen boleh mengambil bahagian termasuklah speaker dan timbalan speaker," katanya.

Pindaan itu diluluskan sebulat suara pada jam 2.54 petang.

ADS