Gerai periksa paru-paru perokok sempena AGM Umno

Gerai pemeriksaan paru-paru untuk perokok merupakan antara tarikan terbaru Karnival Kesihatan Wanita 2012 yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
    
Pengerusi Sekretariat Kebajikan Wanita Umno Datuk Hasnah Salam berkata ia merupakan sebahagian langkah untuk menjayakan kempen JOM Tak Nak Merokok! bagi mewujudkan persekitaran bebas asap rokok.
    
"Kita galakkan mereka yang mahu berhenti merokok atau pun perokok tegar datang buat pemeriksaan di gerai ini untuk tahu keadaan kesihatan paru-paru mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
    
Hasnah berkata turut diadakan ialah saringan kesihatan, pemeriksaan kanser payudara, pengesanan kanser pangkal rahim serta pendaftaran penderma organ dan semuanya adalah percuma.
    
Karnival Kesihatan itu yang diadakan di Aras 3, PWTC dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Seramai 3,000 orang disasar mengunjungi karnival itu yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, berbanding 2,500 pada penganjuran tahun lepas.
    
Sementara itu kaunselor berdaftar Klinik Berhenti Merokok, Klinik Kesihatan Tanglin, Swinder Jit Jag Singh berkata ujian asap rokok atau ujian paru-paru dibuat menggunakan alat dikenali sebagai 'CoPPM'.
    
Beliau berkata perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok digalak ke klinik berkenaan yang bukan sahaja menawarkan pemeriksaan percuma, malah terapi gantian nikotin (NRT) seperi gam NRT, penyedut NRT dan penampal NRT juga diberi percuma.
    
Turut diadakan adalah Terapi 1Malaysia yang merupakan satu alternatif untuk mengesan dan merawat masalah kesihatan yang dihidapi seperti kencing manis dan darah tinggi.
    
Konsultannnya Mohd Dzulhaidi Mohd Daud berkata Terapi 1Malaysia yang dibawa khas oleh Yayasan Angin Ahmar Melaka adalah percuma.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.