TPM: Ideologi songsang tembusi benteng politik pembangkang

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata telah muncul kumpulan di peringkat antarabangsa yang memperjuangkan ideologi songsang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama, yang didakwanya sudah menembusi benteng politik pembangkang di negara ini.

"Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot.

"Sedangkan kita semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh agama-agama lain. Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot?

"Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya," tegas Muhyiddin ketika merasmikan serentak perhimpunan agung tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.   

"Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan seorang naib presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain.

"Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari’at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam," tambahnya.

Muhyiddin berkata, kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru, "kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral".

"Di kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun," tegasnya.

Mengulas mengenai kumpulan yang memperjuangkan ideologi songsang itu, Muhyiddin berkata, mereka memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang tertindas.

"Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.

"Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh baru-baru ini.

"Alhamdulillah, Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menolak keras cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang bertentangan dengan prinsip agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan berleluasa," tegasnya.

Muhyiddin berkata, inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba dibawa oleh pakatan pembangkang, yang didakwanya cuba merungkaikan asas-asas agama Islam yang telah terpahat kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad. Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja," tambahnya.

Beliau mendakwa, inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang dan Umno, sebagai parti yang berjuang untuk menegak dan mendaulatkan Islam, perlu bangkit menjadi benteng mempertahankan masyarakat daripada diasak oleh ideologi songsang tersebut.

"Jangan biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama Umno dan Barisan Nasional untuk mempertahankan nilai-nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang," tambahnya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.