Perhimpunan sayap Umno tumpu persediaan p'raya

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini memulakan perhimpunan agung masing-masing secara serentak, bermula pukul 8 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 

Perhimpunan agung kali ini yang merupakan perhimpunan terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), akan menumpukan kepada persediaan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sayap Wanita bersidang di Dewan Merdeka manakala Pemuda berlangsung di Dewan un Dr Ismail dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn.

Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu dirasmikan serentak Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Sebanyak 2,973 perwakilan iaitu masing-masing 991 perwakilan bagi setiap sayap akan membahaskan ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing selain usul ekonomi serta pendidikan dan agama.

Agenda utama perhimpunan agung ketiga-tiga sayap Umno hari ini

Jurucakap yang membahaskan ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing serta usul ekonomi, pendidikan dan agama pastinya akan menjadikan perhimpunan ini sebagai gelanggang mencambah fikiran, merangka perancangan mengukuhkan jentera sayap bagi membantu Umno memperoleh kemenangan besar.
   
Setiap ketua pergerakan sayap Umno sudah mengingatkan kepada 'anak-anak buah' agar memanfaatkan sepenuhnya perhimpunan ini, yang terakhir sebelum pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa sahaja, untuk menyemak persiapan masing-masing.
   
Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu mesti menjadikan perhimpunan ini sebagai landasan untuk menghantar mesej dan isyarat jelas kepada seluruh rakyat bahawa Umno komited berkhidmat untuk semua.
   
Beliau mahu kira-kira 700,000 anggota sayap itu memainkan peranan lebih besar dalam pilihan raya umum termasuk menjadi peraih undi, khususnya untuk menarik pengundi muda menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).
   
Pilihan raya umum akan datang dianggap paling getir dalam sejarah Umno dan BN kerana akan menentukan 'hidup mati' parti untuk terus menerajui kerajaan.
   
Walaupun berpuas hati dengan momentum dan persiapan jentera Wanita, Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sentiasa mengingatkan kira-kira 1.3 juta anggotanya agar tidak berada dalam zon selesa kerana suasana politik sering berubah dan semakin mencabar.
   
Bagi memastikan trofi kemenangan terus berpihak kepada Umno dan BN, Wanita mesti kekal bersatu padu, bersemangat dan berdisiplin dalam menghadapi pertempuran pilihan raya kelak.
   
Sayap bongsu Umno, Puteri turut tidak terkecuali bersiap siaga selain
memastikan golongan muda terus menyokong kerajaan yang diterajui BN.
   
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata semua 394,316 anggotanya mesti menumpukan usaha membantu kemenangan Umno dan BN, sementelah sayap itu berjaya memenangi dua kerusi Parlimen dan enam daripada lapa kerusi dewan undangan negeri yang ditandingi pada 2008.
   
Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam amanatnya kepada barisan pimpinan bahagian serta anggota Majlis Tertinggi di Dewan Merdeka semalam, mengingatkan mereka pentingnya Umno merapatkan saf perjuangan dalam menghadapi pilihan raya.
   
Ingatan perdana menteri agar perwakilan lebih agresif dalam memenangi hati dan minda rakyat, wajar diberi perhatian serius kerana menang dan kalah parti bergantung sokongan rakyat.
   
Ketika memberi taklimat kepada jurucakap usul Perhimpunan Agung Umno 2012 semalam, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengingatkan agar segala perbahasan mesti menjurus ke arah keuntungan politik kepada parti dalam menghadapi PRU.
   
Menyifatkan perhimpunan kali ini sebagai gelanggang terpenting bagi
memperlihatkan kepada rakyat bahawa Umno parti paling kukuh, timbalan perdana menteri mahu para perwakilan tegas berbicara dengan fakta rasional dan tepat kerana harapan masyarakat terhadap Umno begitu tinggi.
   
Sebagaimana lazim, ketiga-tiga sayap juga tentunya tidak melepaskan peluang menjadikan perhimpunan sebagai ruang memperjuangkan isu-isu berkaitan kelompok yang diwakili untuk perhatian pucuk pimpinan.
   
Sebanyak 2,973 perwakilan iaitu masing-masing 991 perwakilan bagi setiap sayap akan bersidang dengan Wanita berlangsung di Dewan Merdeka, Pemuda (Dewan Tun Dr Ismail) dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn.
   
- Bernama

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.