Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosnah: Tangani politik fitnah dengan fakta, bukan emosi
Diterbitkan:  Nov 28, 2012 1:24 PM
Dikemaskini: Nov 29, 2012 1:16 AM

Anggota Pergerakan Puteri Umno diingat tidak menggunakan emosi semasa berhadapan dengan serangan pembangkang terutama politik fitnah, sebaliknya mematahkan serangan itu dengan menggunakan fakta.

    

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata anggota Puteri perlu menggunakan tiga senjata sebagai strategi mendepani politik fitnah iaitu ilmu, kebijaksanaan dan kesabaran.

    

"Ketiga-tiga pendekatan ini harus diadaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan, membakar seluruh isi perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2012 di PWTC hari ini.

    

Beliau berkata Puteri mahu berada di saf paling hadapan dalam menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang terutama yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat.

    

"Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan dengan hujah, persepsi akan dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan dengan fakta. Itu jalan kita," tegasnya.

Rosnah mengambil contoh kenyataan kontroversi Naib Presiden PKR,  Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama baru-baru ini.

Beliau menyifatkan ideologi pluralisme yang cuba disebarkan pembangkang bukan sahaja mengancam akidah umat Islam malah sengaja mencabar Perlembagaan Persekutuan.

    

Beliau turut mempersoal tindakan PAS yang langsung tidak menegur anak emas PKR itu pada muktamar parti berkenaan baru-baru ini.

    

"Inilah wajah pembangkang, bapa borek anak rintik. Sanggup berbuat apa saja untuk meraih simpati. Jenis apa pembangkang yang kita ada," katanya.

    

Rosnah secara sinis menggambarkan pakatan pembangkang seperti "seekor kerbau mempunyai tiga gembala, dua orang bertelagah, seorang lagi bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah".

    

Dalam pada itu, Rosnah berkata Puteri Umno yang kini mempunyai 395,674 anggota, akan terus berusaha gigih dalam meneruskan perjuangan parti.

    

Rosnah turut meminta masyarakat supaya tidak memandang rendah kepada Puteri Umno kerana mereka mempunyai kesucian dalam perjuangan.

    

"Lembut kita kerana kita menghormati, diam kita kerana kita berfikir. Tidak semestinya kita diam dan lembut bermaksud kita kalah, tidak bermakna kita tidak berkata apa-apa bermakna kita lemah.

    

"Bila tiba masanya, kita akan punahkan pembangkang. Kita akan buktikan kita seorang pejuang. Kita akan pastikan kita adalah khalifah Umno. Ayuh Pemuda, Wanita, kita sinsing tangan bersama. Kita pastikan BN (Barisan Nasional) tetap gah, Umno tetap utuh," katanya disambut laungan dan sorakan semangat oleh hampir 1,000 anggota perwakilan yang hadir.

    

Dalam perhimpunan itu, anggota Puteri turut berikrar terus setia kepada Umno selain merapatkan barisan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

- Bernama

ADS