Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kursus berkaitan sensitiviti gender yang perlu diikuti oleh semua anggota Parlimen seharusnya turut diperluaskan kepada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), kata Penasihat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie.

Beliau berkata langkah itu adalah untuk memupuk budaya perbahasan yang sihat dan profesional bukan saja dalam kalangan anggota Parlimen, malah Adun sekaligus dapat melahirkan pemimpin yang berkualiti.

    

"Saya rasa ini adalah satu inisiatif yang amat tepat pada masanya dan perlu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memupuk apa yang dikatakan kesaksamaan gender.

    

"Kita berpendapat bahawa terutama sekali di Parlimen, Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara sememangnya adalah satu tempat untuk membahaskan, membincangkan isu-isu negara secara profesional dan seharusnya melintasi aspek jantina, agama atau pendirian politik," katanya.

Heng memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan persidangan Antarabangsa Kerja Sosial 2012 anjuran Universiti Sains Malaysia bersama Institut Sosial Malaysia di George Town hari ini.

    

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan usul menerima penyata jawatankuasa peraturan-peraturan mesyuarat di Dewan Rakyat berkata semua anggota Parlimen termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya perlu mengikuti kursus berkaitan sensitiviti gender bagi mengelakkan mereka mengeluarkan kenyataan berbaur seksis ketika persidangan berlangsung.

    

Beliau berkata kursus kefahaman itu akan dianjurkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu anggota Parlimen mengetahui garis panduan mengenai isu sensitif.

    

Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat 36(4) sedia ada yang menyebut "adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadab)."    

    

Selepas pindaan diluluskan, Peraturan Mesyuarat 36(4) menyebut: "Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis."

    

Heng berkata selain memberi garis panduan mengenai isu sensitif, kursus itu kelak diharapkan turut memberi pendedahan berhubung kenyataan berbaur negatif seperti maki hamun dan kenyataan berbentuk serangan peribadi.  

    

"Bukan saja teguran yang berunsur seksis, tetapi juga harus bebas daripada segala unsur yang negatif, maki hamun, serangan peribadi... itu juga tidak harus berlaku di Parlimen, fokus seharusnya pada isu negara, bukan isu lain," katanya.

    

Beliau berkata kementerian bersedia untuk menyediakan segala keperluan dan kelengkapan serta menyokong penuh usaha kerajaan untuk memupuk budaya perbahasan yang sihat dalam kalangan wakil rakyat.

    

- Bernama

ADS