Batik RM10 sepasang antara tarikan di Bazar Umno

Tawaran harga serendah RM10 untuk sepasang kain batik adalah antara tarikan di gerai fabrik dan pakaian di bazar pada Perhimpinan Agung Umno kali ini.
    
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan peniaga gerai fabrik dan pakaian di aras tiga Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memanfaatkan peluang itu untuk menghabisan stok akhir tahun mereka dengan tawaran harga yang cukup menarik.
    
Anrita Nurzirwan, 32, pemilik gerai Anrita Textile berkata kain batik yang biasa dijual dengan harga RM20 sepasang di kedainya di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu, kini dijual dengan harga RM10 sepasang.
    
"Harga itu hanya boleh didapati di sini dan tidak di kedai kami di Jalan
Tuanku Abdul Rahman," katanya kepada Bernama.
    
Petugas gerai kain Nazri Jersey, Azura Mohsin, 35, pula berkata pengunjung gerainya di PWTC boleh membeli kain 'english cotton' dengan harga RM60 sepasang berbanding harga biasa RM100.
    
"Biasanya kami tidak jual semurah itu di butik kami yang terletak di (pusat beli belah) Sogo. Kami tawarkan harga yang lebih murah sempena perhimpunan ini kerana ingin melariskan jualan serta menghabiskan stok hujung tahun," katanya.
    
Pemilik gerai Hie'Jah Batik, Farizah Ramli, 31, berkata walaupun semalam adalah hari pertama beliau memulakan perniagaan di PWTC sempena Perhimpunan Agung Umno, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
    
"Biasanya hari pertama perhimpunan sambutannya dingin, tetapi tahun ini sambutan menggalakkan malah kami turut menerima banyak tempahan menjahit baju," katanya yang saban tahun berniaga di sini.
 
Beliau berkata pelbagai jenis kain batik, songket dan kain kapas digerainya dijual dengan harga antara RM25 dan RM200.
    
Sementara itu, seorang suri rumah dari Setapak, Hasmidah Mohamad, 45, berkata beliau berkunjung ke gerai di PWTC semata-mata ingin mendapatkan kain yang murah dan cantik.

"Di sini ada kain berkualiti dijual dengan harga murah, kedai biasa pun tidak ada harga sebegini," katanya.
    
Seorang perwakilan Wanita Umno, Siti Arfah Mokraji, 55, dari Pontian pula berkata gerai jualan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini mempunyai banyak pilihan pakaian wanita berbanding tahun lepas.
    
"Setiap tahun saya hadir perhimpunan Umno dan tahun ini saya dapati banyak koleksi aksesori wanita seperti kain dan tudung dijual dengan harga yang murah serta banyak pilihan," katanya.
    
Sebanyak 219 gerai disediakan untuk usahawan tempatan dari seluruh negara sepanjang lima hari persidangan itu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.