Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Persoal taklimat Scorpene untuk hasut S'pura?

MP Kuala Krai Dr Hatta Ramli bimbang golongan yang mempersoalkan taklimat isu Scorpene di Singapura bertindak demikian untuk menghasut negara berkenaan supaya tidak mendedahkan kebenaran di sebalik skandal tersebut.

Katanya, keadaan itu berbeza sekiranya taklimat itu tetap diadakan di Singapura walau Malaysia membenarkan ia dijalankan di negara ini.

Namun, keadaan yang berlaku pada masa ini adalah sebaliknya, kata Hatta dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

"Saya risau mereka seolah-olah menghasut negara lain bertindak sama.

"Kalau (suruh) Singapura tak payah layan (anjur taklimat), tapi (Malaysia beri ruang) tak apa.

"Ini seolah-olahnya mereka tak mahu langsung mengetahui kebenaran," katanya.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa penganjuran taklimat berkenaan menunjukkan campur tangan Singapura dalam hal ehwal negara ini.

Dakwaan itu antara lainnya ditimbulkan ketua menteri Melaka, Datu Seri Mohd Ali Rustam yang turut mendakwa, penganjuran taklimat berkenaan menunjukkan tindakan "tidak demokratik" Singapura.

Mohd Ali dipetik laman The Malaysian Insider sebagai berkata, tindakan itu juga tidak menggambarkan semangat "kejiranan" negara itu.

Semalam, peguam Perancis mewakili NGO hak asasi manusia Suaram memberi taklimat perkembangan semasa kes itu di Singapura.

Sesi itu yang pada asalnya dirancang untuk ahli parlimen Malaysia dibuat di negara itu selepas Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan sesi itu berlangsung di Parlimen.

Dalam taklimat berkenaan, peguam Apoline Cagnat berkata hakim Perancis yang menyiasat kes itu tidak mempunyai pilihan tetapi akan menggabungkan perbicaraan pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dalam siasatan mereka.

ADS