Umno sudah sedia lalui peralihan generasi

Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) memikul tugas berat untuk memikat hati 42 peratus pengundi muda yang akan memberi impak kepada keputusan pilihan raya umum ke-13, penentu parti mana yang akan meneraju Malaysia.  
    
Tanggungjawab dan peranan untuk meraih undi kira-kira 5.37 juta pengundi berusi bawah 40 tahun ini mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh kerana Umno dan BN bersaing dengan parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan, sekaligus memenangkan parti masing-masing.    
    
Agenda memenangi hati dan minda pengundi generasi Y adalah antara yang disentuh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menyampaikan amanat kepada barisan pimpinan jawatankuasa bahagian, sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 semalam.
    
Berdasarkan statistik suku ketiga Daftar Pemilih 2012 Suruhan Pilihan Raya, sejumlah 13.1 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
    
Sebanyak 18.07 peratus atau 2.37 juta pengundi terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun manakala 22.8 peratus atau hampir tiga juta terdiri daripada kumpulan umur antara 30 dan 39 tahun.
    
Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Muhammad Khairun Aseh ketika ditemui Bernama, merumuskan amanat Perdana Menteri memberi isyarat jelas bahawa Umno sudah bersedia untuk melalui peralihan generasi, iaitu  menampilkan orang muda untuk memimpin parti dan negara.
    
Muhammad Khairun berkata konsep pengorbanan yang menghendaki pemimpin lama memberi laluan kepada golongan muda sebagai calon, terserlah dalam amanat presiden parti kepada anggota Umno, semasa beliau membincangkan isu taktikal Umno dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
    
Katanya rata-rata anggota juga dilihat senada dengan Najib, melafazkan ikrar janji setia untuk bersatu padu dan kesanggupan mereka untuk berkorban demi parti.
    
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Seputeh Muhammad Razlan Muhammad Rafii pula berkata Umno kini dilihat memberi peluang seluasnya kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan.
    
Menurutnya pelbagai langkah yang diambil Umno, parti terbesar di negara ini yang sudah berusia 66 tahun, sering melibatkan dan memberi peluang golongan muda untuk turut sama memberi pandangan mereka dalam soal pentadbiran.
    
Beliau berkata Pemuda Umno akan terus memberi penjelasan kepada generasi muda mengenai usaha yang sedang dilakukan kerajaan khusus buat orang muda ketika ini, di samping berusaha menyediakan mereka untuk mencorakkan masa depan Malaysia.
    
Katanya banyak program yang dilaksanakan kerajaan menyerlahkan kepentingan suara golongan muda dalam negara yang adakalanya tidak disedari mereka secara langsung, dan menjadi tanggungjawab Umno untuk menyedarkan mereka.
    
Pelbagai program dilaksanakan kerajaan khusus buat golongan muda, antaranya seperti karnival peluang pekerjaan, pemberian RM250 bantuan kewangan Bantuan Rakyat 1Malaysia dipanjangkan kepada kumpulan bujang berumur 21 tahun ke atas yang layak, rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.