'Jangan terkejut kami rampas balik P Pinang'

Perwakilan Wanita Umno Pulau Pinang Jumabi Mohamad berikrar pergerakan itu akan merampas semula pentadbiran Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang bakal menjelang.

Katatanya, Wanita Umno negeri telah merangka strategi tertentu bagi tujuan itu, ekoran kekalahan BN pada pilihan raya pada 2008.

"Ada orang bertanya Pulau Pinang oleh menang ke? Jawapannya, tiada upaya kami melainkan kuasa Allah SWT.

"Wanita Umno dan BN memastikan urusan jatuh bangun, kami tangani bersama. Jangan terkejut pilihan raya umum ke-13, kami ambil balik Pulau Pinang... Wanita Umno dan BN akan serang dan perang untuk kembali berkuasa ," katanya.

Sehubungan itu, tegasnya perpaduan dan ukhwah anggota dalam parti menjadi faktor amat penting bagi mencapai hasrat itu termasuk menyediakan gerakan saraf parti dalam pilihan raya umum itu.

Bercakap dalam membahaskan usul politik di Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita Umno di ibu negara petang ini, Jumabi mengakui Wanita tidak akan menyerah kalah dalam pilihan raya akan datang yang dianggapnya sebagai "ibu segala peperangan".

"(Kita akan) serang dan perang. Kami akui kelemahan silam, terlalu selesa, sehingga banyak perkara kita lepas pandang," katanya sambil menambah kekalahan tersebut menyebabkan semua parti komponen membuka mata mereka.

Tegasnya, sokongan dan dokongan semua pihak daripada mengharapkan beberapa kepimpinan tertinggi parti dan skuad sayang yang "turun padang" memberi semangat kepada jentera parti.

Bagaimanapun, beliau menegur beberapa pemimpin parti yang tidak turun ke akar umbi untuk memberi semangat kepada mereka kecuali perdana menteri, timbalan perdana menteri, Shahrizat dan ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Depa ni lah, yang turun Pulau Pinang, dok tanya habaq. Yang lain awat tak mai, tak nampak batang hidung pun. Awat tak buat macam tahun pertandingan (pemilihan parti). Sampai tidoq di rumah pun, tak boleh.

"Dalam pilihan raya ini, begitu mencabar. Menang ini (pilihan raya) berkempenlah habis-habisan untuk parti kita," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.