Shahrizat: Tak salah untuk belajar dari 13 Mei

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata tiada salahnya beliau membangkitkan kebimbangan berhubung ketegangan kaum dan tragedi 13 Mei 1969 dalam teks ucapan dasarnya di perhimpunan agung pergerakan itu semalam.

Katanya lagi, tiada salah untuk belajar daripada peristiwa "jijik" yang disifatkannya sebagai satu sejarah hitam negara.

"Tiada apa-apa yang salah dengan merujuk sejarah. Kita tak boleh padam sejarah negara dan (peristiwa) 13 Mei.

NONE"Ia sebahagian daripada sejarah hitam negara dan saya menegaskan ia
adalah 'jijik'," kata beliau pada sidang media pagi tadi.

Isu 13 Mei itu tidak disebut Shahrizat tetapi dinyatakan dalam teks berkenaan yang dimuatkan di laman web Wanita Umno.

Menurut teks berkenaan, Shahrizat menyatakan kebimbangan bahawa Umno akan ditolak sekiranya parti gagal mengatasi cabaran itu.

"Terdapat pelbagai kemungkinan implikasi yang boleh difikirkan, tetapi sesuatu yang paling menakutkan ialah sekiranya parti kita menjadi parti yang tidak lagi relevan dan ditolak rakyat.

"Kita mesti pertahankan ini dari berlaku dan sebab itulah kita perlu bangkit sekarang dengan penuh kesedaran bahawa kita memegang amanah untuk terus menjunjung bangsa dan mendaulatkan negara ini," katanya.

NONEJika Umno tidak lagi berada ditampuk kuasa, kestabilan politik negara "akan goyang" dan pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara ini tidak akan senang, kata Shahrizat lagi dalam teks itu.

"Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi dalam negara kita? Kita pastinya tidak mahu," teks itu dipetik.

Dalam sidang medianya hari ini, Shahrizat juga terus mengasak sebuah portal berita yang menurutnya mensensasikan kandungan teks ucapannya dengan "tidak bertanggungjawab" dan didakwanya cuba "mencetuskan ketegangan".

"Saya hulurkan simpati saya kepada mereka kerana kekurangan profesionalisme mereka.

"Mereka ini mahu cetus ketegangan. Saya mahu tanya mereka adakah mereka mahu mencetuskan ketegangan?

"Itu bukan niat saya," tegasnya.

"Laman pro-pembangkang" yang dimaksudkannya itu bukan merujuk kepada Malaysiakini.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.