Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SU, bendahari Pemuda Umno Sri Gading bebas tuduhan tuntutan palsu

Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan bekas setiausaha dan bendahari Pergerakan Pemuda Umno Sri Gading atas tuduhan

membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,998, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan berkenaan terhadap Saiful Basar Samakon, 46, dan Rahmat Junid, 47, selepas meneliti fakta kes dan mempertimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak timbalan pendakwa raya dan peguam.

    

"Selepas meneliti petisyen rayuan timbalan pendakwa raya yang mengemukakan 13 alasan dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, saya memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen pada 30 April 2012 yang membebas dan melepaskan kedua-dua tertuduh adalah kekal," katanya.

    

Saiful Basar dan Rahmat secara bersubahat dituduh memberikan dokumen mengandungi kerja membekal peralatan makan, minum serta penginapan bagi kursus kepimpinan dan motivasi belia Parlimen Sri Gading bagi Pemuda Parlimen Sri Gading, Batu Pahat RM19,998 itu kepada seorang ejen iaitu Pembantu Tadbir Pejabat Daerah Batu Pahat Rohayah Sarip melalui seorang lelaki, Tumirun Apandi.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di Pejabat Daerah Batu Pahat, 17 Oktober 2008.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

    

Pendakwaan kes itu dilakukan timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Ghafar Abd Latif manakala Saiful Basar diwakili peguam Manian K.Marappan dan Rahmat diwakli peguam G.Subramaniam Nair.

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen sebelum ini mengemukakan 13 saksi sebelum kedua-dua tertuduh diputuskan dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan tersebut, 30 April lepas.

    

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi, 3 Mei lalu.

- Bernama

ADS