'Kalau menang, 100 tahun lagi negara bawah BN'

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 menyatakan keyakinannya bahawa BN akan mentadbir negara sehingga 100 tahun akan datang sekiranya parti itu beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapannya, Perwakilan Wilayah Persekutuan Datuk Yahya Mat Ghani turut memberi amaran bahawa parti itu akan berdepan dengan penghinaan sekiranya tewas.

"Kalau menang pilihan raya umum ke-13, 100 tahun lagi pasti dibawah BN.

"Kalau kalah, na'uzubillah, bukan sahaja presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden akan menangis, tetapi pejuang Umno akan mengalirkan air mata dan anak cucu kita esok yang mewarisi perjuangan kita, dia lihat Umno, mereka hina dan caci (kita).

"Ayuh bangun, bangkit untuk terus berjuang, kekalkan kuasa demi anak cucu kita," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Ketua Umno bahagian Batu itu seterusnya berkata beliau melihat PAS sebagai parti yang "lemah" dan "tidak popular" kerana terpaksa menukar pendirian negara Islam kepada negara berkebajikan.

Dakwanya, PAS terpaksa bertindak demikian kerana ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan negara Islam.

Dalam ucapannya, beliau meminta mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menyatakan sama ada Umno yang memperjuangkan tanah air, agama dan bangsa boleh dianggap sebagai parti "bukan Islam" atau murtad.

"Oleh itu kita berharap doa yang dibacakan oleh mereka dahulu, dibalikkan kepada mereka. Ini yang sepatutnya," katanya yang turut membangkitkan isu mengenai ucapan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung isu kebebasan beragama.

Turut berucap, perwakilan Melaka Datuk Hasnoor Sidang Husin yang menyifatkan PAS sebagai "parti komersial yang bermatlamatkan Putrajaya".

"Ulama-ulama mereka menjadi bisu. Isu yang dibangkitkan, yang merosakkan hubungan dengan PKR, DAP, walaupun isu yang dibangkit ada kebenaran, PAS memilih memecat pemimpinnya sendiri," katanya.

Beliau memberi contoh dua pemimpin parti itu Datuk Hasan Ali yang dipecat dan Nasharuddin Mat Isa yang dipinggirkan kerana menyeru kepada perpaduan umat Islam.

Katanya, walaupun PAS mengambil tindakan seperti itu, golongan ulama dalam parti berkenaan dakwanya membisu terhadap kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya, berkaitan isu hudud dan kebebasan beragama.
 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.