Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Umno perlu zuriat politik berkualiti untuk terus berkuasa'

Umno harus ada zuriat politik yang berkualiti untuk memastikan kelangsungan kuasa terutama dalam suasana politik semasa yang kian mencabar, kata wakil Perak Khairul Azwan Harun.

Katanya, zuriat berkualiti yang dimaksudkan itu harus memiliki ciri-ciri taat setia, mesra islah dan mensyukuri nikmat.

    

"Taat setia ini penting kerana jika kita lihat pihak di sebelah sana yang ditanam bukanlah perjuangan untuk mengangkat citra agama bangsa dan negara, sebaliknya membentuk generasi yang patuh membuta tuli kepada pemimpin yang ingin merosakkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

    

"Dalam konteks parti keramat ini, kita ingin melahirkan zuriat yang sentiasa meletakkan perjuangan serta matlamat parti mengatasi kepentingan lain dan pada sepanjang masa menggalas nama Umno di pundak mereka.

"Ini sekaligus melenyapkan sifat individualistik mensabotaj perjuangan," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di perhimpunan agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata Umno juga perlu menjadi peneraju kepada pembentukan generasi yang sentiasa meletakkan konsep syukur sebagai satu cara hidup.

    

Khairul Azwan, yang juga ketua Pemuda Umno Perak berkata parti itu perlu efektif menyemai sifat mensyukuri nikmat di kalangan generasi muda di luar daripada lingkungan parti supaya mereka tidak diperdaya pihak yang sentiasa mencemburui jasa dan perjuangan Umno selama ini.

    

Menurut perwakilan dari bahagian Pasir Salak itu, nikmat perjuangan Umno dan BN sejak lebih lima dekad lalu tidak hanya berlegar di kalangan orang Umno, sebaliknya merentasi kaum, agama dan budaya.

    

"Alhamdulillah, kalangan orang Umno dan BN sentiasa mensyukuri nikmat ini, dan dengan sebab itu, ciri mensyukuri nikmat harus ditanamkan kepada setiap jiwa zuriat Umno yang akan kita lahirkan," katanya.

    

Beliau berkata Umno juga harus melahirkan generasi mesra islah (perubahan) yang sedia menerima perubahan, tetapi jauh lebih penting memiliki deria  untuk menghidu dan memahami kehendak perubahan itu sendiri.

    

Katanya dengan ciri-ciri islah yang dimiliki, zuriat itu juga akan sentiasa bersedia untuk mencari pendekatan di luar kotak bagi memenuhi serta melonjakkan perubahan, contohnya program transformasi yang dibawa oleh kerajaan BN.

    

"Dengan zuriat Umno yang taat setia, sentiasa menerima  perubahan atau islah serta mensyukuri nikmat, InsyaAllah kita akan terus istiqamah dalam perjuangan untuk memastikan Umno dan BN mencapai kejayaan pada pilihan raya yang akan datang," katanya.

Azimat hadapi p'raya

Sementara itu, Wakil Perlis Aziz Had pula menggesa ahli Umno supaya melihat semula "Sumpah Melayu" yang dilafaz pengasas parti Datuk Onn Jaafar dan dipegang sebagai azimat menghadapi pilihan raya umum ke-13.

    

Katanya, ikrar itu yang dilafaz pada 1964 perlu sentiasa dihayati dalam meneruskan perjuangan parti.

"Kami, umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan

berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sesama sendiri.

"Kami, berjanji akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam.

"Kami, juga berjanji akan bekerja kuat untuk menyara diri dan  keluarga

kami.

    

"Kami, sedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum lain dengan jujur dan terhormat.

    

"Kami, umat Melayu Islam bersumpah setia untuk:

    

"Mempertahankan kepentingan dan hak Melayu; Mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu; Memperjuangkan iktisad dan pelajaran bangsa Melayu; dan Mempertahankan maruah negara supaya aman sejahtera," lafaznya semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno 2012 hari ini.

    

Beliau yang juga setiausaha Umno bahagian Kangar berkata, Umno adalah benteng untuk mempertahankan kuasa yang dipegang kerajaan sedia ada.

    

"Sebagai sebuah parti dominan orang Melayu, adalah menjadi tanggungjawab ahli Umno berusaha bersungguh-sungguh dengan segala kekuatan dan kemampuan yang ada untuk mempertahankan kerajaan yang sedia ada," katanya.

Bongkar kelemahan k'jaan Kedah

Umno Kedah pula akan membongkar lebih banyak kelemahan kerajaan negeri Kedah yang diterajui pakatan pembangkang bagi menyedarkan rakyat bahawa parti pembangkang gagal dalam melaksanakan tugas dan membuktikan hanya Barisan Nasional (BN) yang terbaik untuk mereka.

    

Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz, yang juga setiausaha badan perhubungan Umno negeri, berkata kerajaan negeri itu yang ditunjangi PAS tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

    

Apa yang mereka buat hanyalah aktif memacak bendera dan berceramah mencaci dan mengajak rakyat membenci Umno dan BN, selain menyerang kepimpinan negara dan kerajaan sehingga mereka terlupa merekalah sepatutnya mengambil tugas membangunkan negeri, katanya.

    

"Ketika Kedah di bawah BN, apa yang dibuat semuanya tidak betul di mata mereka, tetapi pabila mereka membentuk kerajaan, mereka meneruskan usaha-usaha yang dibuat. Bagaimanapun kerana gaya pengurusan PAS dan pakatan pembangkang yang lemah, mereka berhadapan dengan bermacam-macam masalah," katanya.

Katanya selepas lebih empat tahun pakatan pembangkang berkuasa di Kedah, pelbagai persoalan timbul, antaranya tindakan kerajaan Kedah yang rakus menebang ribuan hektar hutan balak kononnya untuk menjadikannya ladang rakyat dan dusun tanpa mengambil kira kesan alam sekitar serta bekalan air domestik dan bekalan air untuk petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

    

Othman turut membangkit isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin), milik kerajaan  negeri, yang kini menghadapi masalah aliran tunai kerana membiayai gaji staf yang tinggi dan penurunan mendadak bilangan pelajar disebabkan kenaikan yuran yang tinggi.

    

Katanya kerajaan negeri juga gagal dan rugi berjuta ringgit kerana dengan membabi buta melabur di Papua New Guinea dalam projek balak, dan selain itu campurtangan politik dalam perkhidmatan tadbir negeri Kedah (KCS) telah menjadikan pentadbiran negeri kucar-kacir dan tidak lancar.

    

"Bukankah cerita rebutan kuasa menjadi menteri besar Kedah dalam kalangan kepimpinan PAS Kedah menjadi topik lebih penting daripada perancangan memajukan negeri dan rakyat? Bukankah MB Kedah kini meragui kesetiaan dan kewibawaan Exconya sendiri?

    

"Pelabur asing juga sudah lari ke negeri lain kerana ketidakupayaan

kerajaan negeri mengurus infrastruktur asas di kawasan perindustrian. Bukankah pusat hiburan dan rumah urut bertambah di Kedah?" soalnya.

    

Beliau mendakwa, yang terbaru ketika persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, rakyat Kedah diperdaya bahawa Kedah akan mendapat hasil RM20 juta jualan air kepada Pulau Pinang walhal menurut anggota Exco terlibat, mesyuarat antara kedua-dua negeri baru hendak bermula.

    

"Banyak lagi persoalan akan dibongkarkan bila tiba masanya. Kepada rakyat, kalau pada 2008 marah kepada BN, mungkin kami buat silap. Seperti juga presiden, kami minta maaf. Kami berjanji akan menjadikan Kedah lebih cemerlang dan seperti negara-negeri maju di negara ini. Kita (Umno dan BN) mampu tadbir jauh lebih baik daripada pakatan pembangkang," katanya.

Jangan ambil risiko

Sementara itu, ketika membentangkan usul ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung Umno 2012, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat, khususnya orang Melayu dan bumiputera, diingatkan agar tidak mengambil risiko dengan menjadikan pilihan raya umum ke-13 sebagai 'uji kaji'.

    

Katanya, rakyat perlu mengamalkan politik yang cerdik dan matang serta tidak memperjudikan masa depan negara di tangan pembangkang.

    

"Secara ringkas kita hanya ada dua pilihan...sama ada kita akan bekerja kuat kekalkan kuasa dan berlaku adil kepada orang lain seperti kita buat selama ini, ataupun kita leka serahkan kuasa kepada orang lain dan kita berdoa orang lain berlaku adil kepada kita," katanya.

Setiausaha BN Sabah itu juga berkata pakatan pembangkang tidak mempunyai jawapan atau  strategi untuk Malaysia menghadapi cabaran globalisasi serta cabaran ekonomi dunia yang kian kompleks.

    

"Kalau pakatan pembangkang tidak ada jawapan saya minta mereka ketepi dan biarkan Barisan Nasional (BN) memberi jawapan kepada Malaysia," katanya.

    

Beliau juga turut mengusulkan setiap pemimpin dan anggota  Umno serta komponen BN supaya melipatgandakan usaha menjuarai, merasai denyut nadi dan memenangi hati dan nurani rakyat.

- Bernama

ADS