Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon muda boleh hapus jurang generasi - Razali

Meletakkan calon muda bertanding di sesuatu kawasan akan menghapuskan jurang antara generasi serta memudahkan komunikasi antara calon dengan pengundi muda.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata cara itu juga diyakini membantu usaha Barisan Nasional (BN) menarik pengundi muda menyokong parti tersebut.

    

"Sememangnya yang muda lebih mudah berbual dengan rakan sebaya, kita tak nafikan yang dewasa pun boleh tapi yang muda bukan setakat boleh malah mampu melakukannya," katanya kepada Bernama di luar perhimpunan agung Umno 2012 hari ini.

    

Semalam, ketua sayap itu Khairy Jamaluddin berkata bagi memudahkan usaha menarik pengundi muda, jumlah calon muda yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 perlu selari dengan jumlah pengundi muda.

    

Sementara itu Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata meletakkan calon muda adalah satu bentuk pengiktirafan peranan orang muda dan tuntutan mereka tentang perlunya perubahan dan peralihan generasi kepemimpinan dalam Umno.

    

"Namun kita tidak nafikan generasi terdahulu memainkan peranan penting dalam parti kita...maka perlu ada satu bentuk kerjasama antara generasi ini dalam Umno bagi memastikan Umno mampu terus maju ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berkata usaha mengesan dan memikat 2.9 juta pemilih baharu yang akan mengundi buat pertama kali pada pilihan raya umum ke-13 adalah proses berterusan dan dilaksana secara agresif.

Katanya, sayap itu tidak mengambil mudah impak kelompok tersebut terhadap keputusan pilihan raya akan datang.

"Kelompok baru ini boleh disifatkan juga sebagai golongan pengundi atas pagar atau 'swing voters'. Justeru amat penting untuk mencari mereka dan meyakinkan mereka bahawa Barisan Nasional merupakan pilihan tepat," katanya kepada pemberita selepas jamuan tengah hari meraikan kejayaan penganjuran 'BN Youth Job Fair, di ibunegara hari ini.

    

Berdasarkan keputusan pilihan raya kampus sebelum ini yang menyaksikan kumpulan proaspirasi menyapu bersih barisan pimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2012/2013, Khairy yakin sokongan pengundi baharu yang kebanyakannya golongan muda akan memihak kepada kerajaan.

    

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini mengumumkan bahawa sejumlah 2,920,828 rakyat Malaysia telah berdaftar sebagai pengundi dari 2008 sehingga 30 Jun tahun ini, iaitu jumlah paling tinggi pernah dicatatkan.

- Bernama

ADS