Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi curiga dengan Shamsubahrin ekoran komen di lamanweb

Bekas Pengurus Kewangan National Feedlot Corporation (NFC) Hashimah Ahmad memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam bahawa beliau mula mencurigai ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail selepas melihat komen-komen lelaki itu dalam lamanweb.

    

Hashimah, 37, yang bertugas dengan syarikat NFC bermula awal Jun tahun lalu berkata selain komen dalam lamanweb tersebut beliau turut berasa curiga terhadap pembayaran kepada Shamsubahrin.

    

Katanya, pembayaran kepada Shamsubahrin amat besar jumlahnya jika dinilai dengan perkhidmatan yang diberikan terhadap syarikat itu.

    

"Pembayaran melibatkan jumlah yang besar dibuat untuk satu perkhidmatan... selain itu invois dan dokumen juga tidak disertakan," katanya ketika menjawab soalan peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Shamsubahrin.

    

Hashimah merupakan saksi ke-17 pendakwaan bagi perbicaraan kes Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, membabitkan sejumlah RM1.755 juta.

    

Hashimah berkata sebaik mengetahui tentang latar belakang Shamsubahrin, beliau terus memaklumkan kepada bekas Pengarah NFC Datuk Mohamad Salleh Ismail.

"Selepas mengetahui 'history' Datuk Sham (Shamsubahrin) saya terus memberitahu Datuk Salleh dan Datuk Salleh mengingatkan kami agar berhati-hati," katanya.

    

Terdahulu, Hashimah memberitahu mahkamah bahawa tiada sebarang laporan polis serta laporan terhadap Suruhanjanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat beliau berhubung penyalahgunaan keempat-empat pembayaran cek bernilai RM1.755 juta sepanjang tempoh cek tersebut dikeluarkan antara November hingga Disember tahun lepas.

    

Hashimah juga memaklumkan mahkamah bahawa tiada sebarang laporan polis serta SPRM dibuat terhadap tertuduh.

    

Shamsubahrin turut berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung hari ini.

- Bernama

ADS