Wakil P Pinang senarai janji k'jaan negeri

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini menyenaraikan janji yang didakwa tidak ditunaikan kerajaan negeri Pulau Pinang serta amalan yang didakwanya menunjukkan tindakan hipokrit Pakatan Rakyat.

Wakil Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Saibu antara lainnya membangkitkan mengenai tindakan kerajaan negeri yang tidak membenarkan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk membuat liputan sidang DUN.

"Mereka menggubal enakmen kebebasan maklumat untuk menepati kebebasan bersuara... Mana kebebasan media? Sedangkan kita tidak menghalang mereka hadir dalam majlis BN.

"Lim Guan Eng tidak boleh ditegur, kalau tidak dia saman. Habis satu pulau di saman. Ini hipokrit," katanya.

Selain itu, Abdul Rahim mendakwa DAP berhasrat memecah-belahkankan orang Melayu dengan mengadakan pemilihan jawatankuasa di peringkat kariah.

Namun, DAP tidak melantik pemimpin PAS untuk menjadi exco agama sekalipun parti itu menguasai satu kerusi DUN, katanya.

"Sebaliknya diserahkan kepada PKR...Tak malukan PAS... (DAP) tidak diiktiraf langsung peranan PAS," katanya sambil menambah pemimpin PAS itu hanya dilantik menjadi Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Turut dibangkitkannya adalah dakwaan bahawa kerajaan negeri memberi kelulusan kepada satu sekumpulan peguam dan pemaju untuk mendapatkan kawasan tanah di satu perkampungan tradisi pesisir pantai.

"Ini masalah yang kita hadapi YAB Datuk Seri (Najib Tun Razak)... Perumahan di tepi pantai, mereka mahu hapuskan. Kalau kita tidak buat sesuatu, seluruh kampung tradisi akan terhakis," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti supaya menubuhkan satu yayasan hartanah bagi menyelamatkan kampung tradisi Melayu seperti itu.

Dakwanya lagi, kerajaan negeri juga tidak mempedulikan keperluan rakyat untuk mendapatkan rumah mampu milik - malah "tiada ada sebiji pun" dibina DAP di negeri itu, dakwanya.

Beliau juga menyebut janji-janji pilihan raya yang didakwanya tidak ditunaikan oleh Lim Guan Eng pada pilihan raya umum lalu, antaranya pembinaan rumah hijau di parlimen Bagan dan memansuhkan tol Sungai Nyior.

"Janji tidak ditunaikan. Janji tinggal janji," katanya sambil menggesa semua pihak supaya bekerja keras untuk memenangkan Umno dan BN sekaligus merampas semula kerajaan negeri daripada DAP dan Pakatan Rakyat.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.