Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad: Felda timbang saman Harakah, Suara Keadilan

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Felda sedang mengkaji untuk mengemukakan saman ke atas lidah parti PKR, Suara Keadilan dan juga organ PAS, Harakah berhubung laporannya mengenai Felda.

Saman itu akan dikemukakan atas laporan di akhbar Suara Keadilan dan Harakah itu memaparkan dakwaan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman bahawa Felda menjual minyak sawit kepada sebuah syarikat Israel, katanya.

Katanya, dakwaan itu disiarkan dalam Suara Keadilan bertarikh 27 November dan juga Harakah bertarikh 26-29 November.

Ahmad berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mazlan di dua akhbar berkenaan merupakan satu fitnah dan bermotifkan politik.

"Memang pembangkang ini pembohong dan pemfitnah. Mereka menuduh Felda berurus niaga dengan Israel, BN khianati rakyat Palestin dan minyak sawit dijual ke Israel. Akhbar ini memfitnah Felda. Mereka fitnah Felda bermakna fitnah kerajaan juga.

"Ini bukan perkara kecil dan sebelum apa-apa saya nak maklumkan bahawa kita sedang mengkaji untuk ambil tindakan undang-undang kepada dua-dua, Suara Keadilan dan Harakah . Dakwaan ini satu kenyataan yang jahat dan bermotifkan politik," kata Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad, kumpulan Felda melalui anak syarikatnya Felda Iffco Oil Products (FIOP) tidak pernah menjual minyak sawit kepada mana-mana syarikat Israel termasuk Bunge Agribusiness Singapore Private Limited seperti yang didakwa Mazlan.

Katanya lagi, Bunge Agribusiness bukan syarikat Israel, sebaliknya merupakan anak syarikat Bunge Limited – sebuah syarikat senaraian awam di Amerika Syarikat yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia.

"Kita memang ada hubungan dagang dengan Bunge Limited. Tak nafi. Tapi dia syarikat Amerika Syarikat yang disenaraikan di bursa saham Amerika Syarikat dan bukan syarikat Israel. Tak ada pun cawangan syarikat ini di Israel dan menurut maklumat yang saya terima mereka ada cawangan di Mesir.

"Apa yang mereka tuduh ini adalah fitnah. Bagaimana surat khabar parti Islam ini boleh sebarkan fitnah. Kita akan saman. Kita dah maklum kepada peguam Felda dan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.

ADS